Daftar Pemilih Tambahan diwarta, dibuka untuk semakan

Seramai 5.7 juta warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas sehingga 31 Disember 2021 didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
Seramai 5.7 juta warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas sehingga 31 Disember 2021 didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
A
A
A

PUTRAJAYA- Daftar Pemilih Tambahan Bulan Disember Tahun 2021 telah diperaku serta diwartakan pada Jumaat dan kini dibuka untuk semakan selama enam bulan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, semakan itu boleh dilakukan bermula pada 14 Januari hingga 13 Julai ini.

Menurutnya, daftar pemilih tambahan itu mengandungi nama bagi 5.7 juta warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas sehingga 31 Disember 2021 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Daripada jumlah itu, 25,220 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 9,293 orang pemilih bertukar status dan kategori pengundi.

"SPR menyediakan empat kaedah semakan bagi daftar pemilih tambahan ini, iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my.

"Orang ramai juga boleh menyemak melalui aplikasi mudah alih MySPR Semak, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my atau melalui Hotline SPR di talian 03-8892 7018," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

SPR turut menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas sehingga 31 Disember 2021 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN12/2021.

Jelas Ikmalrudin, sekiranya mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam daftar pemilih tambahan, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

"Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan.

"Untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan daftar pemilih tambahan ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!