Australia batalkan visa Djokovic sekali lagi
AUSTRALIA membatalkan visa Novak Djokovic buat kali kedua dengan menyatakan pemain tenis nombor satu dunia itu yang belum divaksin Covid-19 berkemungkinan menimbulkan risiko kesihatan, sekali gus mengakhiri misi pemain dari Serbia untuk merebut gelaran Grand Slam ke-21 di Terbuka Australia.
Menteri Imigresen Alex Hawke menggunakan kuasa budi bicara untuk sekali lagi membatalkan visa Djokovic, selepas mahkamah membatalkan pembatalan awal dan membebaskannya daripada tahanan imigresen pada Isnin.
“Hari ini saya menggunakan kuasa saya di bawah seksyen 133C(3) Akta Migrasi untuk membatalkan visa yang dipegang oleh Novak Djokovic atas alasan kesihatan dan ketenteraman, atas dasar bahawa ia adalah demi kepentingan awam untuk berbuat demikian,” kata Hawke dalam kenyataan.
Di bawah seksyen Akta Migrasi yang digunakan untuk membatalkan visa, Djokovic tidak akan dapat mendapatkan visa ke Australia selama tiga tahun, kecuali dalam keadaan memaksa yang menjejaskan kepentingan Australia.
Untuk rekod, Djokovic, juara bertahan Terbuka Australia sebelum ini dimasukkan dalam undian pada Khamis sebagai pilihan utama dijadualkan menentang rakan senegaranya dari Serbia, Miomir Kecmanovic untuk perlawanan pembukaannya berkemungkinan pada Isnin atau Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!