Pekerja putus jari, majikan didenda RM13,000

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

TELUK INTAN - Sebuah kilang pembuatan dan pemasangan aksesori motosikal didenda RM13,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas seorang pekerjanya cedera parah putus jari telunjuk dan jari tengah tangan kanan akibat terhimpit mesin mengecap di tempat kerja.

Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Perak, Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan menyebut, syarikat CJM Industries Sdn Bhd yang diwakili pengarah urusannya sebagai majikan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

"CJM Industries Sdn Bhd sebagai majikan telah gagal untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya semasa bekerja, iaitu gagal mengadakan sistem kerja yang selamat bagi aktiviti menggunakan mesin mengecap sehingga menyebabkan berlaku kemalangan kepada seorang pekerja tempatan berusia 52 tahun.

"Kemalangan yang berlaku pada 23 Julai lepas, kira-kira 2.15 petang telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah iaitu putus jari telunjuk dan jari tengah tangan kanan akibat terhimpit di antara die dan mould mesin mengecap," menurut kenyataan tersebut pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!