Projek Baiti Jannati, TNB sedia tambah peruntukan
BATU GAJAH - Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedia menambah peruntukan bagi pelaksanaan bantuan baik pulih dan bina baharu kediaman menerusi projek Baiti Jannati tahun ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, pihaknya sedar berlaku peningkatan permohonan terhadap bantuan berkenaan susulan pandemik Covid-19 yang telah menyebabkan golongan memerlukan semakin bertambah.
"Mengikut graf ekonomi negara sekarang, kita jangkakan keperluan ini dari segi bilangannya akan meningkat.
"TNB sentiasa berpegang kepada prinsip sebagai agensi yang dekat di hati rakyat terutama mereka yang kurang bernasib baik.
"Jadi, selagi kita rasa dapat menyumbang ke arah itu kita akan lakukan termasuklah terbuka untuk kaji semula dan menambah peruntukan-peruntukan yang sesuai bagi mengimbangi keperluan berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika majlis penyerahan rumah kepada seorang ibu tunggal, Norismah Ismail di bawah projek Baiti Jannati TNB di Kampung Tersusun Sungai Terap di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Pengurus Besar TNB Perak, Datuk Ir Sharuddin Mohd Simin.
Menurut Baharin, setakat ini, hampir RM40 juta telah dibelanjakan bagi projek Baiti Jannati di seluruh negara sejak 2007 membabitkan kerja baik pulih dan bina baharu 879 rumah.
Katanya, sepanjang tempoh pandemik pula, pelaksanaan program itu masih diteruskan melibatkan peruntukan RM16 juta.
"Peruntukan bagi program ini datangnya daripada zakat melalui keuntungan yang diperoleh TNB.
"Doakanlah TNB mendapat keuntungan yang baik agar sumbangan zakat itu bertambah dan dapat menyumbang lebih banyak dalam program ini," katanya.
Sementara itu, Mohd Zolkafly berkata, sejak dilaksanakan pada 2008 lalu, sebanyak 117 keluarga di negeri ini telah menerima manfaat projek Baiti Jannati dengan nilai lebih RM5.1 juta.
Jelas beliau, di bawah projek sama tahun lalu, Perak menerima peruntukan RM1.2 juta bagi membina 20 rumah asnaf terpilih
"Sumbangan yang dilakukan TNB ini sedikit sebanyak meringankan beban kerajaan negeri dalam menyediakan kediaman selesa kepada rakyat memerlukan rumah sama ada yang tinggal di bandar atau luar bandar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!