OIC kutuk sekeras-kerasnya serangan di Christchurch
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Dr Yousef Al-Othaimeen mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas terhadap umat Islam yang tidak berdosa dalam kejadian tembakan di dua masjid di Christchurch pada Jumaat.
Al-Othaimeen berkata, jenayah kejam meragut lebih 40 nyawa itu jelas memberikan amaran bahayanya kebencian dan Islamophobia yang telah menyakiti perasaan umat Islam di seluruh dunia.
"Al-Othaimeen menyeru Pihak Berkuasa New Zealand menyiasat kejadian itu dengan terperinci," kata badan dunia itu dalam Twitter rasminya.
Setiausaha Agung OIC turut mengucapkan takziah dan bersimpati kepada keluarga mangsa di samping berharap mereka yang cedera segera pulih.
Serangan pengganas di Masjid Al Noor dan Linwood di Christchurch, New Zealand itu membunuh 49 orang dan puluhan lagi cedera. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!