Thailand rancang urus Covid-19 sebagai endemik
BANGKOK - Kementerian Kesihatan Awam Thailand merancang untuk menangani Covid-19 sebagai penyakit endemik tahun ini meskipun usaha memerangi gelombang kelima jangkitan koronavirus di negara itu masih berterusan.
Timbalan Jurucakap Kementerian Luar, Natapanu Nopakun berkata, pihak berkuasa Kesihatan Awam mengumumkan rancangan mereka untuk menguruskan pandemik Covid-19 dengan berkesan ketika Thailand memasuki tahun ketiga dalam memerangi Covid-19.
“Pihak berkuasa Kesihatan Awam akan mengurus gelombang jangkitan ini untuk membolehkan peralihan Covid-19 menjadi endemik apabila lebih ramai penduduk membentuk imuniti,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Opas Karnkawinpong berkata, Covid-19 hanya boleh menjadi endemik apabila virus itu kurang teruk dan terkawal melalui kadar vaksinasi yang lebih tinggi.
“Kami menjangkakan penyakit itu akan menjadi endemik tahun ini. Bukanlah dalam waktu terdekat. Kami akan menganggap Covid-19 sebagai endemik apabila ia boleh dikawal dan kadar kematian adalah rendah.
"Kami melancarkan kesedaran awam agar orang ramai faham bagaimana untuk hidup dengan Covid-19 sebagai penyakit endemik," katanya.
Beliau menambah bahawa negara-negara seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat juga menjangkakan Covid-19 mungkin beralih menjadi endemik.
Pada Selasa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran supaya tidak menganggap Covid-19 sebagai endemik berbanding pandemik kerana penyebaran varian Omicron masih belum stabil. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!