Sindiket edar dadah tumpas, kondominium jadi stor simpanan diserbu

Sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya tiga individu.
Sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya tiga individu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya tiga individu di kawasan tempat letak kereta di sebuah pasar raya, di Jalan Klang Lama, di sini dan di kondominium yang terletak di kawasan Puchong, Selangor pada Selasa.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Superintendan Mohd Shokri Abdullah berkata, ketiga-tiga suspek berkenaan diberkas dalam Ops Hurricane yang dijalankan kira-kira jam 8.40 malam.

"Ketiga-tiga suspek yang diberkas berumur antara 26 hingga 45 tahun dan merupakan rakan yang bekerjasama dalam sindiket ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, hasil pemeriksaan dalam dua serbuan berasingan telah merampas dadah berserta wang tunai.

"Antara yang dirampas adalah dadah jenis ketamin bernilai RM1,430,000, heroin bernilai RM9,800, pil ecstacy sebanyak 4,800 biji bernilai RM72,000 dan wang tunai berjumlah RM2,280.

"Siasatan mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak sebulan yang lalu dan menjadikan unit kondominium yang mempunyai kawalan keselamatan yang ketat dengan kadar sewaan sebanyak RM1,700 sebulan sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan kepada pembeli," katanya.

Menurutnya, dadah ini dipercayai untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

"Kesemua suspek telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama enam hari dari 12 hingga 17 Januari 2022.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!