Permohonan ambil pekerja asing dibuka 28 Januari ini

Majikan perlu mematuhi SOP Kemasukan Pekerja Warga Asing yang telah ditetapkan oleh kerajaan
Majikan perlu mematuhi SOP Kemasukan Pekerja Warga Asing yang telah ditetapkan oleh kerajaan
A
A
A

SHAH ALAM - Proses permohonan bagi pengambilan pekerja asing akan dibuka secara berperingkat bermula 28 Januari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, permohonan pada 28 Januari itu bagi pengambilan seramai 32,000 pekerja asing dalam sektor perladangan secara pengecualian khas.

Menurutnya, bagi permohonan pekerja asing untuk sektor-sektor lain termasuk sektor perladangan tanpa pengecualian khas pula akan mula dibuka pada 15 Februari.

"Selain daripada tarikh-tarikh yang diumumkan untuk kemasukan pekerja warga asing, saya ingin mengingatkan semua majikan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kemasukan Pekerja Warga Asing yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"SOP ini merangkumi empat fasa iaitu pra pelepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan iaitu tempoh kuarantin dan pasca kuarantin. Semua pekerja warga asing perlu menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari dan ujian saringan Covid-19 sebanyak dua kali dalam tempoh tersebut yang akan ditanggung oleh majikan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua pusat kuarantin dan hotel bagi tujuan kuarantin ketika ini berada di Lembah Klang.

"Setakat ini, kapasiti yang boleh ditampung oleh pusat kuarantin atau hotel bagi tujuan kuarantin adalah sebanyak 10,000 orang pada satu-satu masa.

"Kementerian Sumber Manusia mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat untuk menawarkan khidmat sebagai pusat kuarantin atau hotel bagi tujuan kuarantin dengan mematuhi syarat dan kriteria ditetapkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!