Sabah harap pelancong dari China tiba bila sempadan negara dibuka

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor - Foto Bernama
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Sabah berharap ramai pelancong dari China akan datang melawat negeri ini apabila pintu sempadan negara dibuka semula kepada pelawat antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, sektor pelancongan Sabah banyak bergantung kepada pelancong asing terutama dari China bagi membantu merancakkan semula aktiviti berkenaan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

"Dengan pembukaan sempadan negara kepada pelawat antarabangsa dalam tempoh terdekat ini, kita berharap ramai pelancong dari China akan melawat Sabah. Ini akan dapat membantu memulihkan sektor pelancongan tempatan, sekali gus meningkatkan ekonomi negeri," katanya di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Liang Caide ke kediaman rasmi ketua menteri di Sri Gaya di sini pada Jumaat.

Dalam kunjungan itu, Caide memberikan taklimat kepada Hajiji mengenai perkembangan terkini di China serta usaha-usaha yang dilakukan oleh pejabatnya dalam membantu mempromosi Sabah sebagai destinasi pelancongan, pelaburan dan perdagangan.

Hajiji berkata, Sabah amat mengalu-alukan pelaburan asing terutama dari China untuk bersama-sama membangunkan pelbagai sektor utama di negeri itu seperti pembinaan, pelancongan, pertanian dan industri berteknologi tinggi baharu.

"Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah akan terus bekerjasama erat dengan Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu dan Kedutaan China bagi menarik lebih ramai pelabur dari negara itu ke Sabah yang akan membantu merancakkan pertumbuhan sektor ekonomi negeri.

"Hubungan baik dan kerjasama yang sedia terjalin antara Sabah dan China akan terus diperkukuhkan lagi kerana ia memberi banyak manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!