Bahan kimia dibuang di ladang sawit Pulau Pinang: Bomba
GEORGE TOWN - Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang hari ini mengesahkan terdapat pelbagai jenis bahan kimia yang telah dibuang di ladang kelapa sawit, Bukit Teh, Bukit Mertajam, dipercayai sejak awal bulan ini.
Pengarah JBPM Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata berikutan penemuan itu, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah meminta bantuan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) JBPM untuk membuat pemeriksaan jenis bahan kimia berkenaan.
"Saya dimaklumkan pihak JAS mendapat aduan daripada pemilik ladang sawit itu berhubung ada pihak membuang pelbagai bahan kimia dalam ladangnya.
"Pihak JAS telah membuat pemeriksaan awal dan mereka meminta bantuan Hazmat untuk kenal pasti bahan-bahan kimia berkenaan namun kami tidak dapat mengenalpastinya (bahan kimia) kerana ia telah bercampur antara satu sama lain," katanya kepada Bernama di sini.
Katanya pemeriksaan dan pernilaian awal yang dibuat bersama-sama pegawai JAS setakat ini mendapati bahan kimia itu tidak meruap atau berlaku pemeluwapan tetapi mengeluarkan bau.
Saadon berkata, pasukan Hazmat telah mengambil sampel bahan kimia berkenaan untuk membuat ujian lanjut, manakala pihak JAS pula telah menghantar sampel bahan-bahan kimia itu kepada Jabatan Kimia untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.
Katanya ketika ini proses mengalihkan dan membuang semua bahan kimia itu ke lokasi yang sepatutnya sedang dijalankan oleh sebuah syarikat kontraktor yang di lantik JAS.
"Kawasan ladang sawit itu jauh daripada perumahan penduduk dan setakat ini saya difahamkan tiada mangsa terjejas dengan bahan kimia itu," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!