'PRN Johor hanyalah khabar angin' - Samsolbari

Samsolbari ketika ditemui pada Seminar Pemantapan Jentera PRU15 Parlimen Kulai di Hotel Impiana di sini pada Sabtu
Samsolbari ketika ditemui pada Seminar Pemantapan Jentera PRU15 Parlimen Kulai di Hotel Impiana di sini pada Sabtu
A
A
A

KULAI - UMNO Johor menafikan sebarang perbincangan telah dibuat berhubung spekulasi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Setiausahanya, Datuk Samsolbari Jamali berkata, perkara berhubung PRN itu hanyalah khabar angin malah diperingkat parti juga tiada sebarang perbincangan mengenainya telah dibuat.

Beliau berkata, fokus utama parti ketika ini juga bukan semata-mata untuk berpolitik sebaliknya menumpukan sepenuhnya kepada kerja-kerja menangani wabak Covid-19 dan bencana yang berlaku.

“Tiada perbincangan, sebenarnya perkara ini (PRN) hanya spekulasi, sesiapa sahaja berhak untuk membuat sebarang spekulasi.

“UMNO Johor dan Barisan Nasional (BN) telah bekerja daripada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 hingga sekarang, tetapi fokus utama kita sekarang adalah mengatasi Covid-19 dan banjir dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Seminar Pemantapan Jentera PRU ke-15 Parlimen Kulai di Hotel Impiana di sini pada Sabtu. Hadir sama, Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Sebelum ini, media melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan partinya telah bersiap sedia untuk menghadapi PRN Johor sekiranya DUN dibubarkan dalam waktu terdekat

Perkara itu juga selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memberi lampu hijau kepada parti untuk bersiap sedia menghadapi PRN Johor bagi menubuhkan kerajaan yang lebih stabil berbanding majoriti satu kerusi ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ditanya mengenai khabar angin berhubung pembubaran DUN selepas perayaan Tahun Bahau Cina pada Februari depan, Samsolbari memaklumkan perkara itu juga masih belum diputuskan.

“Kita belum putuskan, saya lihat semua orang mahu bercakap mengenai PRN bahkan bukan sahaja UMNO malah semua parti sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

“BN Johor bagaimanapun akan terus konsisten menjalankan tugas seperti biasa untuk berkhidmat kepada rakyat. Rasanya ini keutamaan kami pada masa sekarang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!