Tindakan tegas individu sebar berita palsu
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang menyebarkan berita palsu berhubung insiden pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor.
Dalam kenyataannya di sini, SKMM berkata, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Langkah ini adalah untuk mencegah seluruh rakyat Malaysia serta penduduk setempat daripada mendapat maklumat yang salah yang boleh menjurus kepada keadaan panik,” demikian menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, perbuatan segelintir pengguna media sosial yang menyebarkan khabar angin kononnya hospital tidak lagi menerima kemasukan pesakit baharu serta terdapat mangsa meninggal dunia adalah perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab.
“Tindakan berkenaan bukan sahaja boleh menjejaskan ketenteraman awam bahkan juga memberi kesan negatif kepada mangsa, keluarga dan masyarakat setempat,” kata kenyataan itu.
SKMM sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia untuk menjejaki individu-individu terlibat dan tindakan sewajarnya akan dikenakan mengikut lunas perundangan sedia ada.
Insiden pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim yang berlaku pada 7 Mac lepas menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!