PJKM catat jualan RM7.8 juta sejak 2 Disember

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid (dua,kiri) diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil Maliaman Kasim (kiri) beramah mesra bersama pengunjung pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di pekarangan tempat letak kereta Bangunan Pusat Dagangan Ajil (ATC) Ajil hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid (dua,kiri) diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil Maliaman Kasim (kiri) beramah mesra bersama pengunjung pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di pekarangan tempat letak kereta Bangunan Pusat Dagangan Ajil (ATC) Ajil hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA BERANG - Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang bermula 2 Disember lepas berjaya menarik kedatangan 426,305 pengunjung di 274 lokasi seluruh negara dan mencatat jualan sebanyak RM7.8 juta.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, data itu membuktikan PJKM sangat signifikan dalam membantu rakyat terutama golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga yang murah.

"Contohnya harga ayam dijual RM7.80, dan ini membuktikan janji kerajaan untuk menurunkan harga ayam di bawah RM8 berjaya kita laksanakan. Harga jualan di PJKM lebih murah kerana diambil terus pada harga pemborong.

"Maklum balas pengunjung menyambut baik PJKM ini, kerana dapat meringankan beban kewangan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan banjir yang melanda negara baru-baru ini,” katanya ketika meninjau PJKM peringkat Parlimen Hulu Terengganu yang diadakan di Pusat Dagangan Ajil di sini pada Sabtu.

PJKM adalah inisiatif kerajaan hasil kerjasama strategik KPDNHEP, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Persatuan Nelayan Kebangsaan, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan pemain industri peruncitan setempat.

Ditanya sama ada kerajaan berhasrat memperluaskan PJKM di peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri setelah melihat sambutan memberangsangkan di peringkat Parlimen, Rosol berkata, perkara tersebut perlu dibincangkan dengan lebih terperinci, kerana pelbagai faktor.

"Penganjuran PJKM ini memerlukan komitmen dan kesanggupan dari pihak pemborong dan peruncit yang terlibat (logistik, tenaga kerja dan stok barangan). Jika ia dibuat terlalu kerap, mungkin ada kesan untuk peruncit di kawasan setempat kerana harga di PJKM terlalu murah.

"Oleh itu, kita minta Ahli Parlimen berbincang dengan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) di kawasan masing-masing untuk memilih lokasi sesuai untuk menganjurkan PJKM selaras hasrat kerajaan membantu golongan sasar," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!