Perancangan licik musuh UMNO tidak kesampaian
SHAH ALAM - Perancangan licik musuh-musuh UMNO untuk menamatkan riwayat parti berkenaan tidak kesampaian, malah parti semakin mara ke hadapan selangkah demi selangkah.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui perkongsiannya di Facebook pada Sabtu berkata, begitu teguh jati diri UMNO dan tidak berganjak meskipun ditekan dengan hebat.
“Sehingga ke tahap presidennya diugut dan digertak supaya UMNO dibubarkan atau akan menanggung akibat.
“Kemudian menghasut ahli UMNO konon parti itu sudah tiada masa depan dan memujuk supaya menyertai mereka.
“Muslihatnya agar UMNO bertambah lemah selepas tewas PRU14 dan lama kelamaan musnah sendiri,” katanya di media sosial berkenaan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid mendakwa musuh-musuh UMNO itu berusaha menggunakan saluran undang-undang supaya UMNO diisytiharkan sebagai parti yang tidak sah.
“Selepas menyedari kesemua usaha mereka tidak berhasil, UMNO cuba pula dikawal supaya menuruti kehendak.
“Perancangan licik itu juga tidak kesampaian, malah UMNO semakin mara ke hadapan selangkah demi selangkah,” ujarnya.
Beliau berkata, terbukti bahawa sinergi ketetapan akar umbi UMNO yang diterjemahkan kepada pimpinannya adalah tepat.
Menurutnya, presiden UMNO dan barisan pimpinan sedia ada tidak akan sesekali berpaling dan mengabaikan suara akar umbinya.
“Biarlah resmi UMNO ini cuba 'didalilkan' sebagai berorientasikan barat selagi tidak menyanggah hukum ALLAH SWT.
“UMNO akan terus mendengar suara akar umbi apatah suara rakyat seperti yang tersemat dalam sejarah panjang perjuangannya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!