Jumlah kutipan perkhidmatan di UTC boleh kembali cecah lebih RM200 juta

Tengku Zafrul (dua dari kiri) bertanyakan sesuatu kepada orang ramai yang mengunjungi kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) sewaktu melawat pameran pada Program Jelajah Bajet 2022 di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Bharu pada Sabtu. - Foto Bernama
Tengku Zafrul (dua dari kiri) bertanyakan sesuatu kepada orang ramai yang mengunjungi kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) sewaktu melawat pameran pada Program Jelajah Bajet 2022 di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Bharu pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kelantan yang terletak di Jalan Hamzah di sini, mampu meraih kutipan mencecah lebih RM200 juta setahun menerusi semua perkhidmatan yang ditawarkan apabila ia kembali beroperasi sepenuhnya dalam tempoh Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, mengikut rekod kutipan mencecah lebih RM200 juta pernah dicatatkan sebelum pandemik Covid-19.

"Bagaimanapun bagi tempoh 15 Jun tahun 2020 sehingga Disember tahun lepas, seramai 404,863 pengunjung telah direkodkan dengan kadar purata pengunjung bulanan pada tahun lalu seramai 16,436 pengunjung.

"Saya yakin dengan pembukaan semula UTC yang kini dibuka sepenuhnya, susulan negeri Kelantan telah berada dalam Fasa Empat PPN, jumlah pengunjung akan kembali seperti sebelum ini iaitu 725,000 pengunjung setahun, direkodkan dengan kutipan lebih RM227 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Program Jelajah Bajet 2022 di UTC Kelantan di sini pada Sabtu yang turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia, Datuk Asri Hamidon.

Untuk rekod, setakat ini terdapat sebanyak 23 buah UTC di seluruh negara termasuk tiga di negeri Pantai Timur iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan, menawarkan kemudahan pelbagai urusan membabitkan pelbagai agensi Kerajaan Pusat dan negeri.

Tengku Zafrul sebelum itu turut menyampaikan bantuan musim tengkujuh kepada 15 orang penoreh getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), serta sesi penyerahan hadiah cabutan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (SSP) kepada tiga orang penerima bertuah.

Mengulas mengenai Program Jelajah Bajet 2022 itu Tengku Zafrul berkata, program berkenaan merupakan siri pertama yang bermula di Kelantan sebelum ia akan diperluaskan di negeri-negeri lain, agar ia dapat direalisasikan dengan jayanya demi kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Ia merupakan salah satu inisiatif MOF bagi menjelaskan tentang pelbagai inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan kepada rakyat dalam Bajet 2022.

"Walaupun kita mempunyai pelbagai inisiatif kalau ia tidak dimanfaatkan tidak ada guna, oleh itu dengan adanya program ini, ia sekurang-kurangnya dapat memastikan inisiatif ini diketahui oleh rakyat termasuk penjawat awam dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima bantuan yang juga penoreh getah, Wan Daud Wan Sulaiman, 81, dari Kampung Batu Gajah, Tanah Merah menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan di atas sumbangan wang tunai bernilai RM600 yang diberikan.

"Dengan adanya bantuan seperti ini, ia sekurang-kurangnya dapat meringankan beban saya yang tidak dapat menoreh sejak Oktober lalu disebabkan musim tengkujuh. Sepanjang tempoh itu saya hanya bergantung kepada sumbangan yang diberikan oleh anak-anak,” kata bapa tunggal kepada enam anak itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!