TNB bina, baiki lebih 1,000 rumah keluarga miskin tegar

Norismah (dua dari kanan) bersama anak-anaknya kelihatan gembira di hadapan rumah baharu mereka selepas menerima kunci rumah sumbangan dari Projek Baiti Jannati TNB pada Jumaat.
Norismah (dua dari kanan) bersama anak-anaknya kelihatan gembira di hadapan rumah baharu mereka selepas menerima kunci rumah sumbangan dari Projek Baiti Jannati TNB pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah membina dan membaiki kediaman lebih 1,000 keluarga miskin tegar menerusi program Projek Baiti Jannati (PBJ) dan Program Mesra Rakyat (PMR).

Sebanyak 879 buah rumah di bawah PBJ sudah pun dibaikpulih dengan pembiayaan hampir RM40 juta manakala 214 rumah di bawah PMR pula memperuntukkan lebih RM7.34 juta.

Meskipun menghadapi cabaran pandemik Covid-19, namun ia tidak menghalang TNB meneruskan program berkenaan dalam usaha membantu kerajaan menyediakan kediaman yang lebih selesa kepada golongan yang memerlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, pelaksanaan PBJ merangkumi usaha membaiki, membeli atau membina kediaman golongan B40 dan asnaf terpilih meliputi ibu tunggal, warga emas dan golongan miskin dengan menggunakan sumber wang zakat perniagaan TNB yang dikembalikan oleh Majlis Agama Islam Negeri.

Menurutnya, TNB juga terbuka dalam mengkaji peruntukan yang sesuai bagi pelaksanaan PBJ, lebih-lebih lagi dalam suasana sukar ketika ramai bergelut membayar hutang atau sewa rumah.

“PBJ dapat menghapuskan kebimbangan yang meningkat terhadap keupayaan ketua isi rumah menyediakan tempat perlindungan secara berterusan kepada keluarga masing-masing.

“Besarlah harapan TNB agar penerima rumah PBJ dan keluarga masing-masing tabah menghadapi ujian dan dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa.

“TNB sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap masyarakat setempat, terutama susulan pandemik Covid-19 yang banyak memberi kesan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, satu Majlis Kesyukuran PBJ TNB telah diadakan di Kampung Tersusun Sungai Terap, Batu Gajah, Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak, Datuk Zolkafly Harun (tiga dari kanan) diiringi Baharin Din (tiga dari kiri) menyampaikan replika kunci kepada Norismah di Majlis Kesyukuran PBJ TNB di Kampung Tersusun Sungai Terap, Batu Gajah, Perak pada Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak, Datuk Zolkafly Harun (tiga dari kanan) diiringi Baharin Din (tiga dari kiri) menyampaikan replika kunci kepada Norismah di Majlis Kesyukuran PBJ TNB di Kampung Tersusun Sungai Terap, Batu Gajah, Perak pada Jumaat.

Sementara itu, seorang penerima, Norfatihah Norazam, 19, mengucapkan terima kasih bagi pihak ayahnya, Allahyarham Norazam Abdul Rahman yang meninggal dunia tiga bulan lalu.

Mewakili keluarganya, anak sulung Allahyarham Norazam itu menceritakan betapa hasrat ayahnya tidak kesampaian untuk menikmati kediaman selesa berkenaan.

“Sebelum ayah pergi (meninggal dunia), dia cakap tak sabar nak tunggu rumah ini siap, mesti cantik dan banyak rancangannya untuk rumah ini. Dia amat bersyukur.

“Sayangnya (ayah) tak berkesempatan. Oleh itu, saya ingin merakamkan sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih kepada pihak yang terlibat untuk merealisasikan rumah yang serba indah ini. Saya dan seisi keluarga saya bersyukur dan berterima kasih,” katanya.

Norazam adalah antara 11 keluarga yang menerima rumah baharu di Perak bagi tahun 2021 sekali gus menjadikan 128 keluarga di negeri itu menikmati pemberian rumah atau rumah dibaik pulih di bawah projek berkenaan dengan nilai hampir RM5.8 juta sejak 2008.

Selain Norfatihah, Norazam yang meninggal dunia kerana serangan angin ahmar pada 12 Oktober tahun lalu, meninggalkan dua orang lagi anak yang masih bersekolah Norannisa, 12 dan Noralif Eizham,16.

Balunya, Norismah Ismail, 49, pula tidak bekerja dan keluarga berkenaan meneruskan kehidupan dengan wang pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!