Melaka cadang wujudkan dua rumah transit di setiap DUN

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kanan) beramah mesra bersama keluarga Siti Rohaya Mat Din (dua, kanan) selepas majlis penyerahan rumah di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Melaka Rumahku di Kampung Air Hitam, Lendu di sini hari ini.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kanan) beramah mesra bersama keluarga Siti Rohaya Mat Din (dua, kanan) selepas majlis penyerahan rumah di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Melaka Rumahku di Kampung Air Hitam, Lendu di sini hari ini.
A
A
A

ALOR GAJAH - Kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM) bercadang untuk mewujudkan dua rumah transit di setiap 28 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, rumah transit itu merupakan bantuan awal tempat tinggal bagi golongan yang memerlukan terutama mereka yang berdepan musibah seperti kebakaran, kedaifan, mangsa keganasan rumah tangga dan sebagainya.

"Setakat ini hanya terdapat lima rumah transit di Rumah Pangsa Kampung Padang, Pokok Mangga di bawah LPM yang lengkap dengan perabot dan disewakan secara percuma kepada mereka untuk tinggal sementara sebelum mempunyai kediaman baharu.

"Sekiranya ada hal-hal kecemasan untuk mereka yang memerlukan tempat berteduh namun tinggal di kawasan kampung dan jauh dari bandar, maka kita fikir kaedah ini lebih sesuai untuk dilaksanakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan penyerahan rumah kepada Siti Rohaya Mat Din di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Melakaku Rumahku di Kampung Air Hitam, Lendu yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif LPM Mohd Salleh Hamidon.

Sementara itu Sulaiman berkata, rumah yang disumbangkan LPM kepada Siti Rohaya itu bernilai RM40,000 dilengkapi dengan tiga bilik tidur, ruang tamu, dapur serta tandas, dan ia siap dibina dalam tempoh satu bulan setengah.

Katanya kos pembinaan rumah itu dibiayai sepenuhnya LPM manakala pemasangan meter elektrik disumbang oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala pemasangan meter air oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), dan Kumpulan Melaka Berhad menyumbang kepada kerja-kerja pemasangan siling dan kerja mengecat.

"Ini merupakan program kedua bagi inisiatif Melaka Rumahku dan untuk tahun ini LPM merancang membina lagi 58 rumah yang akan diberikan secara percuma kepada golongan asnaf dan miskin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!