1,300 polis pantau perarakan Thaipusam di Pulau Pinang

Soffian menunjukkan laluan yang akan digunakan semasa perarakan pedati sempena perayaan Thaipusam di Pulau Pinang.
Soffian menunjukkan laluan yang akan digunakan semasa perarakan pedati sempena perayaan Thaipusam di Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 1,300 anggota dan pegawai polis akan bertugas memantau keselamatan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sempena sambutan Thaipusam di negeri ini yang akan berlangsung pada 17 hingga 19 Januari depan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, bagi memastikan kelancaran perjalanan upacara keagamaan berkenaan pihaknya turut menempatkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara, Pasukan Polis Marin dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di beberapa lokasi.

Selain itu, jelasnya seramai 70 anggota dan pegawai polis berkawal dan mengiringi perarakan pergi dan balik pedati yang akan dibawa bermula dar Kuil Arulmigu Balathandayuthabani di Lebuh Queen ke Kuil Nagarathar Thandayuthapani, Jalan Kebun Bunga bermula jam 6 pagi.

"Pedati Emas dan Pedati Perak dibawa akan berhenti di tujuh hentian bagi upacara keagamaan dan sepanjang perjalanan itu tidak kurang daripada 100 ahli jawatankuasa kuil akan terlibat dengan perarakan berkenaan.

"Pihak kuil juga mengambil inisiatif dengan menempatkan sejumlah sukarelawan di sekitar kawasan kuil bagi memastikan penganut patuh kepada jumlah kehadiran dan SOP yang ditetapkan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Soffian berkata sempena sambutan perayaan itu beberapa jalan juga ditutup pada tarikh berkenaan bagi laluan pedati emas bermula pada jam 6 pagi diikuti pedati perak sejam kemudian.

Menurutnya, antara laluan yang terlihat dengan penutupan itu bermula iaitu Lebuh Queen, Jalan Gottlieb, Jalan Burma, Jalan Brown, Jalan Tunku Abdul Rahman, Lorong Air Terjun, Jalan Datuk Seri Ramanathan, Lebuh Raya Rose dan Jalan Wright.

Beliau berkata, pergerakan pedati pada kali ini dijangka hanya mengambil masa selama lapan hingga sembilan jam sahaja berbanding perarakan yang pernah diadakan sebelum ini yang mengambil masa selama 20 jam.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Soffian turut menasihatkan orang ramai khususnya pengguna jalan raya supaya bertolak ansur atau menggunakan laluan alternatif bagi mengelak kesesakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!