Jawi kumpul dana, edar al-Quran lokasi terjejas banjir

Program sumbangan dana dan wakaf al-Quran disempurnakan oleh Mohd Daud (tengah) di Masjid Wilayah Persekutuan pada Jumaat.
Program sumbangan dana dan wakaf al-Quran disempurnakan oleh Mohd Daud (tengah) di Masjid Wilayah Persekutuan pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengumpul dana dan wakaf al-Quran untuk diedarkan ke masjid, surau serta sekolah di lokasi terjejas banjir.

Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan susulan banyak naskhah al-Quran yang rosak dan musnah dalam kejadian banjir Disember lalu.

Menurutnya, program itu juga sebagai lambang solidariti dan keprihatinan serta menyuburkan amalan membaca, mempelajari dan tadabbur al-Quran dalam masyarakat.

"Program akan berlangsung selama sebulan dan orang awam yang ingin menyumbang boleh menyalurkan melalui tabung wakaf al-Quran atau kod QR yang disediakan di 89 buah masjid di seluruh Wilayah Persekutuan.

"Sumbangan juga boleh dibuat melalui akaun Masjid Wilayah Persekutuan: 14023010023833 (Bank Islam Malaysia Berhad)," katanya dalam satu kenyataan.

Pelancaran program telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar di Masjid Wilayah Persekutuan pada Jumaat.

Beliau berkata, program dengan kerjasama MAIWP itu menyasarkan kutipan dana sebanyak RM700, 000 bagi membeli 10,000 naskhah al-Quran.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sehingga kini sejumlah RM 170,000 sumbangan dana wakaf al-Quran telah diterima daripada beberapa pihak seperti Pengarah Urusan Kumpulan Zikay Group Berhad, Masjid Jamek Kampung Baru, Pusat Pungutan Zakat dan Wakalah Zakat MAIWP, Lembaga Tabung Haji dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Pada Jumaat, Jawi melalui Masjid Wilayah Persekutuan telah menyerahkan 200 naskhah al-Quran wakaf sumbangan Nasyrul Quran kepada Masjid Hidayatul Muttaqin, Kampung Bukit Lanchong Shah Alam yang terkesan banjir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!