UMNO, BN bersedia jika PRN Johor tidak dapat dielak
KUALA NERANG - UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor jika ia tetap akan dilaksanakan, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menurutnya, parti tersebut dan parti gabungan dalam BN sentiasa bersiap sedia sekiranya perkara tersebut diputuskan UMNO negeri Johor dan keputusan bertanding secara solo atau bekerjasama dengan parti-parti lain akan dibuat secara konsensus oleh kepimpinan parti di peringkat pusat.
"UMNO dan BN adalah parti sentiasa bersedia. Jika itulah keputusan (UMNO) Johor (yang mahu PRN diadakan), Saya ingat UMNO dan BN secara keseluruhannya sedia menghadapinya.
"Sama ada kita bertanding solo atau bersama rakan-rakan lain, itu akan ditentukan secara konsensus oleh kepimpinan tertinggi parti. Sebagai Naib Presiden, saya tak berhak bercakap bagi pihak parti dan semuanya terpulang kepada kepimpinan peringkat Pusat," katanya dalam sidang akhbar di Dewan Pejabat UMNO Bahagian Padang Terap, dekat sini, pada Sabtu.
Beliau mengulas mengenai persiapan UMNO dan BN sekiranya PRN di Johor sudah tidak dapat dielakkan seperti Melaka sebelum ini.
Sebelum sidang akhbar, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Ahli Parlimen Padang Terap menyampaikan Penyerahan Baucar Bantuan Persekolahan.
Mahdzir berkata, beliau menolak dakwaan wujudnya dua kelompok dalam UMNO yang menyokong Presiden parti tersebut, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan satu lagi menyokong Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, perjalanan parti tersebut berjalan dengan lancar dan sebagai Naib Presiden UMNO, beliau mengesahkan bahawa perjalanan parti berjalan dengan lancar di peringkat Pusat biarpun jawatan Perdana Menteri bukan disandang oleh Presiden seperti kebiasaan sebelum ini.
"Kita berada dalam satu rangka kerja menuju Pilihan Raya Umum 15 (PRU-15), saya tidak nampak ia akan menjadi masalah. Presiden ketika ini komited menguruskan parti semasa Naib Presiden menjadi Perdana Menteri," ujarnya.
Pada Jumaat, Astro Awani melaporkan Pas sedia berdepan Pilihan Raya Negeri, PRN Johor sekiranya diadakan dalam masa terdekat.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, setakat ini pihaknya belum mengadakan sebarang perbincangan berkenaan perkara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!