Manchester City terlalu padu buat Chelsea
PENYANDANG juara, Manchester City meneruskan momentum positif kempen mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mencatat kemenangan 1-0 ke atas Chelsea, sekali gus melebarkan kelebihan 13 mata di puncak liga buat skuad kendalian Pep Guardiola tersebut.
Gol minit ke-70 Kevin De Bruyne di Stadium Etihad sudah cukup membolehkan City mengumpul 56 mata selepas mengharungi 22 perlawanan sambil diikuti rapat anak buah Thomas Tuchel dengan 43 mata.
Pesaing terdekat, Liverpool yang terikat tanpa jaringan berdepan Arsenal dalam saingan Piala Liga pula, kurang dua perlawanan di kedudukan ketiga dengan 42 mata, akan berdepan Brentford di Anfield pada Ahad.
Gol penghujung babak kedua daripada De Bruyne yang dicabar N'golo Kante, namun tonggak Belgium itu berjaya mengatasi pemain kental The Blues tersebut sebelum menewaskan Kepa Arrizabalaga hasil rembatan lencong.
The Blues juga memiliki peluang terbaik menyamakan kedudukan pada awal separuh masa kedua apabila penyudah Romelu Lukaku hasil hantaran Mateo Kovacic diselamatkan penjaga gol Manchester City, Ederson.
The Citizens juga mempunyai peluang melebarkan jurang menerusi Phil Foden, namun rembatannya sedikit tinggi dan melebar.
Untuk rekod, Chelsea menewaskan Manchester City dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara musim lalu, namun City melengkapkan kemenangan berganda ke atas kelab sensasi London itu dalam saingan liga musim ini, setelah menang 1-0 di Stamford Bridge pada September lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!