WUI sumbang 100 al-Quran kepada Surau al-Hassany
SHAH ALAM – Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) menerusi program Cuci, Pulih dan Iqra 2.0 menyumbang sebanyak 100 naskhah al-Quran kepada ahli kariah Surau al-Hassany Batu 3, di sini yang terjejas akibat banjir, baru-baru ini.
Menerusi program tersebut, WUI turut menyumbang dua set al-Quran dengan setiap satunya memiliki tujuh jenis naskhah al-Quran untuk mewujudkan ruangan Quran Corner di surau tersebut.
Ketua Pegawai Penyelidik WUI, Safri Muhammad Zein berkata, sumbangan kali ini merupakan kesinambungan daripada program cuci surau selepas banjir sebelum ini yang dilakukan di surau tersebut.
Tambah Safri, pihaknya turut menyumbang 100 pasang telekung, sejadah (100), kain pelikat (100) dan dua rak al-Quran.
“Semoga sumbangan al-Quran ini dapat memberi manfaat kepada mereka dan kepada penyumbang yang sudah mewakafkan,” katanya dalam program Cuci, Pulih dan Iqra 2.0 di sini pada Sabtu.
Sumbangan tersebut disampaikan kepada Penasihat Surau, Mohamed Abdul Hamid dan Pengerusi Surau, Jannatul Naim dalam satu majlis diadakan di surau tersebut.
Selain penyerahan al-Quran, turut diadakan sesi bertadabbur dengan Surah As-Sajdah dari ayat satu hingga empat oleh Safri serta bacaan oleh Mohamed.
Dalam pada itu, Mohamed berkata, dengan sumbangan tersebut ia dapat memulihkan dan mencantikkan surau selepas dilanda banjir.
“Semua ini dapat kami manfaatkan. Mudah-mudahan ia menjadi semangat untuk semua kariah mengimarahkan surau ini pada masa akan datang,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!