Ancelotti teruja dapat bawa Real ke final
PENGENDALI Real Madrid, Carlo Ancelotti tanpa berselindung sangat teruja apabila dapat membawa Los Blancos sekali lagi ke pentas akhir Piala Super Sepanyol menentang Athletic Bilbao di Arab Saudi.
Bagaimanapun kata Ancelotti, banyak kerja yang perlu dilakukan termasuk perlu mengubah taktik dan cara permainan ketika bertemu anak buah Marcelino pada awal pagi Isnin.
"Saya sangat gembira buat masa ini, saya sangat teruja.
"Kembali ke final sekali lagi adalah istimewa dan lebih-lebih lagi apabila ketika menerajui Real Madrid. Pasukan ini sudah biasa dengan jenis perlawanan ini dan detik-detik ini," katanya.
Sebelum ini, pendahulu LaLiga itu berjaya mara selepas menewaskan Barcelona 3-2 selepas pemain gantian Federico Valverde menjadi wira buat Los Blancos apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan.
Manakala Bilbao pula lolos ke perlawanan akhir selepas mengatasi Atletico Madrid 2-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Untuk rekod, kedua-dua pasukan itu pernah berjumpa sebanyak dua kali pada Disember lalu dalam saingan LaLiga, dengan Real muncul sebagai pemenang bagi kedua-dua perlawanan iaitu 1-0 di Bernabeu dan 2-1 di San Mames.
"Kami mengenali satu sama lain dengan baik kerana kami telah bermain dua kali dalam sebulan, sekali di Madrid dan sekali di Bilbao.
"Ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar, sama seperti yang lain kerana Bilbao sebuah pasukan yang kuat selain mempunyai pertahanan yang mantap dan tersusun ketika melancarkan serangan.
"Jadi kami perlu lakukan pendekatan yang berbeza apabila menentang Bilbao kerana mereka mempunyai ciri berbeza dengan Barcelona," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!