Aura Coutinho pacu kebangkitan Aston Villa
PENAMPILAN sulung tonggak baharu Aston Villa, Philippe Coutinho penghujung babak kedua menghadirkan inspirasi buat The Villans bangkit mengikat Manchester United 2-2 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Villa Park.
Manchester United terlebih dulu berada di landasan terbaik untuk melakar kemenangan kedua minggu ini menentang anak buah Steven Gerrard apabila Bruno Fernandes menjaringkan gol pada minit keenam - gol pertama hasil kesilapan penjaga gol Villa, Emiliano Martinez.
Pada babak kedua, Villa tampil lebih tersusun, namun ketika Coutinho bersiap sedia untuk penampilan pertama, tuan rumah sekali lagi dikejutkan jaringan kedua Fernandes pada minit ke-67.
The Villans kembali semula dalam perlawanan apabila Coutinho memainkan peranan besar ketika menghadirkan gol penyamaan yang dijaringkan Jacob Ramsey pada minit ke-77.
Bekas perancang Liverpool dari Brazil itu kemudiannya membuat Villa Park kembali bergema apabila menyamakan kedudukan selepas menyudahkan sentuhan cemerlang Ramsey pada minit ke-82'.
"Sejujurnya, saya amat merindui kembali beraksi di saingan Liga Perdana Inggeris. Ini merupakan permulaan yang baik dan petanda keyakinan untuk kelab menghasilkan keputusan lebih positif pada baki perlawanan. Saya amat gembira dan mahu bekerja lebih keras meningkat persembahan," kata Coutinho.
Keputusan seri itu menyaksikan United kini di tempat ketujuh dengan 32 mata daripada 20 perlawanan, lima di belakang pasukan tangga keempat West Ham United dengan satu perlawanan dalam tangan, selepas hanya mengutip lima mata daripada empat perlawanan liga terakhir manakala Villa berada di tempat ke-13 dengan 23 mata.
"Kami berdepan detik sukar apabila saya merasakan ia adalah permainan terbaik Manchester United sejak saya datang ke sini dan menguasai sepenuhnya 30 minit pertama.
"Amat sukar untuk menerima keputusan ini selepas mendahului 2-0. Apabila anda membuang dua mata berharga ia hampir berasa seperti kekalahan," kata pengurus sementara United, Ralf Rangnick.
KEPUTUSAN
Aston Villa 2-2 Manchester United
Bruno Fernandes (6', 67')
Ramsey (77')
Coutinho (82')
Norwich City 2-1 Everton
Keane (16')
Idah (18')
Richarlison (60')
Newcastle United 1-1 Watford
Saint-Maximin (49')
João Pedro (88')
Wolves 3-1 Southampton
Jiménez (37')
Coady (59')
Ward-Prowse (84')
Adama Traoré (91')
Manchester City 1-0 Chelsea
Kevin De Bruyne (70')
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!