Pembangunan Kinta Riverwalk bukan projek 'gajah putih': Exco

Nolee Ashilin (dua dari kanan) melancarkan Kinta Riverwalk pada majlis pelancarannya pada Sabtu.Turut sama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin (tiga dari kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Hasri A Hasan (dua dari kiri). -FotoBernama
Nolee Ashilin (dua dari kanan) melancarkan Kinta Riverwalk pada majlis pelancarannya pada Sabtu.Turut sama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin (tiga dari kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Hasri A Hasan (dua dari kiri). -FotoBernama
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak memberi jaminan pembangunan semula produk pelancongan di Kinta Riverwalk di sini, tidak akan menjadi projek ‘gajah putih’.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, pengendalian pembangunan itu, akan diserahkan kepada hanya satu agensi iaitu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berbanding beberapa pihak sebelum ini.

"Kita mengharapkan strategi satu agensi untuk mengawal selia pembangunan terbabit akan membawa kepada pembangunan yang lebih bersepadu, bagi memastikan produk pelancongan di sini dapat dikekalkan dan dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa.

"Ini kerana dahulu kita mempunyai pelbagai pihak yang membangunkan kawasan ini, jadi mungkin kerana itu ia tidak sekata dan tidak boleh diuruskan sebaik mungkin,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan prapelancaran pembukaan semula Kinta Riverwalk, yang turut dihadiri Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin di sini malam Sabtu.

Mengulas lanjut, Nolee Ashilin berkata, pembangunan Kinta Riverwalk itu adalah kesinambungan daripada Jejak Warisan Ipoh yang dibangunkan sebelum ini, bagi mewujudkan tarikan pelancongan di pusat bandar raya yang dikenali sebagai Segi Tiga Pelancongan Bandar Raya Ipoh.

"Pembangunan ini akan menjadi pelengkap kepada perancangan Kawasan Pelancongan Pekan Lama seperti digariskan dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK) dan ‘Ipoh Walkable City’ serta Rancangan Tempatan Ipoh 2035,” katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!