Tsunami landa Jepun susulan letusan gunung berapi di Tonga
TOKYO - [DIKEMASKINI] Tsunami melanda Jepun lewat Sabtu hingga awal Ahad, beberapa jam selepas letusan gunung berapi dasar laut di kepulauan Tonga, menurut Agensi Meteorologi Jepun.
Agensi itu berkata ombak setinggi 1.2 meter tiba di pulau Amami Oshima sekitar 11:55 malam (waktu tempatan) sebelum melanda kawasan lain di sepanjang pantai Pasifik Jepun.
Tambahnya, ombak tsunami setinggi 0.9 meter juga mencecah ke pulau Hokkaido serta wilayah barat daya Kochi dan Wakayama.
Stesen nasional NHK turut menyiarkan rakaman secara langsung dari pelabuhan di wilayah yang terjejas, serta menyeru penduduk kawasan terbabit berpindah ke tempat lebih tinggi.
Seorang pegawai agensi kaji cuaca pada sidang media secara langsung memaklumkan perubahan air pasang surut setinggi lebih 1 meter telah dikesan selepas jam 11 malam tetapi tidak diklasifikasikan sebagai tsunami.
Bagaimanapun, agensi itu kemudian mengaktifkan sistem amaran tsunami awam bagi menggesa pemindahan penduduk Amami. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!