Penganut Hindu perlu patuh SOP sambut Thaipusam
JOHOR BAHRU - Polis Diraja Malaysia ( PDRM) meminta penganut Hindu di negara ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perayaan Thaipusam bagi mengekang penularan Covid-19.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, berkata SOP rasmi yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara ( MKN) harus menjadi panduan bagi memastikan perayaan Thaipusam selamat dan tidak menimbulkan kluster baharu.
"Berkenaan dengan perayaan Thaipusam, memang MKN sudah keluarkan SOP. Polis memang dalam keadaan bersiap sedia bagi memantau perayaan Thaipusam di seluruh negara.
"Ini bukan kali pertama, polis terlibat dalam memastikan perayaan Thaipusam di negara ini selamat dan tiada unsur jenayah. Cumanya kali ini kita terikat dengan SOP yang ketat bagi membendung penularan Covid-19," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep ) Kontinjen Johor, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.
Justeru, Razarudin mengingatkan penganut Hindu agar mematuhi SOP sekiranya tidak mahu berdepan tindakan tegas mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).
"Berhubung jumlah anggota polis di setiap negeri yang diletakkan memantau perayaan Thaipusam, ia bergantung kepada Ketua Polis Negeri mengambil kira situasi perayaan di negeri masing- masing," katanya.
Pada Khamis, media melaporkan semua senarai prosedur operasi standard (SOP) sambutan Thaipusam dibuat berdasarkan cadangan pihak pengurusan kuil dan penilaian risiko kesihatan serta pencegahan penularan Covid-19 termasuk ancaman varian Omicron.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata semua cadangan dan permintaan itu dibentangkan kepada kementeriannya menerusi sesi libat urus bersama pengerusi dan pengurusan kuil di beberapa kawasan.
Antara SOP sambutan perayaan itu ialah upacara 'paal koodam' atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang dan perjalanan pedati, dibenarkan pada Thaipusam kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!