Batu Caves mula dikunjungi sempena Thaipusam
KUALA LUMPUR - Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, di sini yang menjadi lokasi tumpuan utama setiap kali Thaipusam, mula dipenuhi penganut Hindu yang hadir menunaikan nazar dan sembahyang pada Ahad menjelang perayaan itu Selasa ini.
Kebanyakan mereka dilihat membawa 'Paal Koodam’ atau belanga susu untuk dituangkan ke atas patung Dewa Murugan di puncak kuil berkenaan, sebagai antara upacara keagamaan.
Malah, tinjauan seawal jam 8 pagi mendapati pengunjung berbilang bangsa juga tidak melepaskan peluang melihat sendiri suasana sambutan, dengan masing-masing dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Tidak seperti sebelum ini, hanya beberapa gerai menjual bunga untuk upacara sembahyang dan gerai makanan dibuka, di perkarangan kuil.
Pegawai Informasi Pejabat Batu Caves, K Tamilvaani berkata, pihaknya menerima pengunjung seawal jam 12 tengah malam pada Sabtu bagi melaksanakan upacara sembahyang.
Wanita berusia 31 tahun itu berkata, seperti mana ditetapkan kerajaan, pihaknya menyediakan Kod QR Mysejahtera, pengimbas suhu badan serta tag, bagi pengunjung yang membawa ‘Paal Koodam’.
Katanya, bagi menjaga kesesakan dan penjarakan sosial, hanya 500 orang dibenarkan memasuki ke kawasan kuil pada satu-satu masa.
"Pihak kami juga akan sentiasa membuat pengumuman dari semasa ke semasa, untuk orang ramai agar sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga jarak, serta kerja-kerja sanitasi akan dilakukan bagi setiap sesi sembahyang yang diadakan,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dalam satu sidang akhbar sebelum meninjau sambutan berkenaan pada Ahad berkata, situasi semasa di sekitar kawasan kuil masih dalam keadaan terkawal dan berjalan lancar.
"Secara keseluruhan seramai 1,500 kekuatan anggota polis terlibat dan kami juga dibantu agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Daerah Selayang dan Kementerian Kesihatan,” katanya.
Pada masa sama, kebanyakan pengunjung yang hadir meluahkan rasa gembira dapat menunaikan upacara sembahyang, dalam keadaan selesa dan teratur.
Salah seorang pengunjung, N Lokizhwaran, 25, berkata, dia lebih selesa walaupun dalam keadaan SOP yang ketat.
"Kalau dahulu, saya mengambil masa empat jam untuk sampai ke kuil di puncak kerana kepadatan pengunjung, manakala hari ini saya selesai upacara ibadat dalam masa 30 minit sahaja,” katanya.
Turut berkongsi rasa yang sama, D Dashieny, 26, berkata, kemeriahan itu masih dirasai kerana masih ada laungan ‘Vel Vel’, walaupun tiada iringan muzik dan sebagainya.
"Bagi saya suasana pada kali ini lebih tenang dan lebih bersifat ketuhanan,” ujarya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!