'Kami meniarap bila dengar bom meletup'

Gambar hiasan. - Foto sumber internet
Gambar hiasan. - Foto sumber internet
A
A
A

TUMPAT - "Keadaan ketika itu cukup menakutkan apabila rumah kami bergegar selepas dua butir bom meletup," kata penduduk Kampung Simpangan di sini yang menceritakan keadaan yang berlaku pada dua malam lepas.

Dalam kejadian itu, sebuah pos tentera Thailand di Kampung Sri Pagan atau dikenali penduduk tempatan sebagai `Nat Cenerong' meletup kira-kira pukul 12 malam yang turut menggegarkan Kampung Simpangan yang terletak kira-kira 30 meter dari pos tentera itu.

Letupan itu turut menyebabkan kampung berkenaan, yang hanya dipisahkan melalui Sungai Golok, mengalami kerosakan melibatkan kira-kira 10 buah rumah hingga cermin tingkap pecah dan siling runtuh.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dilaporkan cedera di bahagian tangan kanan apabila terkena serpihan cermin tingkap yang pecah ketika letupan itu.

Ahmad Hasbullah Mail, 26, berkata, ketika kejadian beliau berada di tebing sungai melihat ramai pemancing sedang mengail ikan.

"Tiba-tiba kami dengar seperti peluru dilepaskan dalam tempoh 10 minit dan saya serta para pemancing berselerakan cuba menyelamatkan diri," katanya.

Selepas itu, mereka terdengar satu letupan bom yang berlaku di kem tentera yang terletak bersebelahan sungai di sebelah negara jiran itu.

"Ketika itu kami meniarap dan akhirnya satu letupan bom yang sangat kuat berlaku dan ketika itu menggegarkan kami di sebelah sini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dia berkata keadaan di kem tentera itu kelihatan kelam kabut dan penduduk kampung yang panik pulang ke rumah untuk melihat keadaan keluarga.

Bagi Kamarulzaman Abdul Manaf, 37, yang mengalami kerosakan tingkap dan pintu rumah berkata keadaan agak panik seketika dan dapat melihat dengan jelas keadaan yang berlaku di seberang sungai itu.

"Alhamdulillah keluarga saya tidak mengalami sebarang kecederaan dan keadaan pulih selepas itu. Saya lihat ambulans dan bomba Thailand datang ke kem tentera selepas itu," katanya.

Bagaimanapun dalam kejadian itu, beberapa anggota tentera Thailand dan penduduk kampung berhampiran kem dilaporkan cedera.

Tinjauan Bernama mendapati pihak berkuasa Thailand kelihatan membersihkan sisa runtuhan bangunan, yang dipercayai bom berkenaan diletakkan dalam sebuah motosikal.

Penduduk di Kampung Simpangan juga sedang membaik pulih rumah dengan membaiki siling dan tingkap yang rosak.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!