Raih RM200,000 hasil jualan nanas MD2
KEMAMAN - Bermula sebagai tanaman landskap bagi menghijaukan kawasan kampus, University College TATI (UC TATI) kini mampu meraih pendapatan mencecah RM200,000 semusim hasil tanaman nanas MD2 yang diusahakan sejak 2020.
Rektornya, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, projek tanaman nanas di atas tanah berkeluasan 3 ekar itu dijalankan dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
Katanya, projek itu diusahakan secara lebih meluas bagi menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan industri pengeluaran nanas negara.
"Pada mulanya projek tanaman buahan tropika ini adalah salah satu cara untuk menghijaukan kawasan UC TATI dengan pemandangan landskap hijau di dalam kawasan kampus.
"Selain menjadi landskap, ia juga memberikan pulangan dan meraih jualan RM200,000 selepas dituai pada November tahun lalu," katanya kepada Sinar Harian, pada Ahad.
Khamis lalu, UC TATI menerima kunjungan Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Mohd Khairuzamri M. Salleh ketika lawatan kerja, di sini.
Dalam pada itu, Anuar merakam penghargaan atas sumbangan sebanyak 51,000 benih nanas sebagai projek tanaman kolaborasi termasuk khidmat perundingan oleh LPNM.
"Nanas MD2 antara yang menjadi rebutan dan mendapat permintaan tinggi kerana rasanya manis, lebih berjus dan mempunyai serat yang bagus untuk kesihatan.
"Menerusi projek yang diusahakan, kita percaya ia mampu menjamin kelestarian sumber dan mengurangkan kebergantungan terhadap sumber luar," katanya.
Sementara itu, Mohd Khairuzamri berkata, Nanas MD2 semakin mendapat sambutan dalam kalangan pengusaha kerana ia bukan sahaja memenuhi permintaan pasaran tempatan malah turut dieksport ke luar negara.
Katanya, kerajaan melalui Rancangan Malaysia ke 11 (RMK11) telah mengisytiharkan industri nanas sebagai sumber pendapatan baru di mana nanas MD2 antara buah-buah tempatan yang berkualiti tinggi dan menjadi sumber kekayaan baharu negara dalam sektor pertanian.
"Penjagaan nanas MD2 juga tidak sukar kerana ia tidak memerlukan siraman air yang banyak dan hanya perlu memastikan sistem perparitan yang baik.
"Nanas MD2 mempunyai tempoh matang agak lama iaitu sekitar 14 bulan dan dalam tempoh itu tanaman ini perlu dilakukan secara berfasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!