Sisa kayu hanyut di Telemong akan dibersihkan segera

Kayu terapung dan hanyut di Sungai Telemong, Bentong, Pahang akibat kejadian banjir pada 18 Disember lalu.
Kayu terapung dan hanyut di Sungai Telemong, Bentong, Pahang akibat kejadian banjir pada 18 Disember lalu.
A
A
A

JERANTUT - Masalah longgokan sisa kayu di kawasan Telemong di Bentong akibat banjir baru-baru ini akan diselesaikan secepat mungkin.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, usaha itu akan dilaksanakan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menurutnya, proses tersebut akan dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perhutanan.

"Kita akui banjir baru-baru ini telah meninggalkan sampah sarap yang mengakibatkan saluran air sungai dan kawasan sekitar kampung dipenuhi dengan sisa kayu.

"Namun begitu kita akan memberi keutamaan kepada penduduk yang terkesan dengan musibah banjir dahulu seperti pembersihan rumah mangsa dan sebagainya," katanya pada sidang media sempena lawatan kerja dan perasmian Projek Wakaf Air di Felda Sungai Retang di sini pada Ahad.

Tuan Ibrahim (dua dari kanan) meninjau di kawasan projek Wakaf Air di Jerantut pada Ahad.
Tuan Ibrahim (dua dari kanan) meninjau di kawasan projek Wakaf Air di Jerantut pada Ahad.

Tuan Ibrahim berkata, selain membersihkan rumah penduduk, kementerian juga akan menyelesaikan masalah air termenung di beberapa kawasan tertentu.

"Kita akan menghantar pam-pam untuk mengalirkan air tersebut terutama membabitkan kawasan perumahan dan ladang penduduk kerana jika air tidak dikeringkan, penduduk tidak dapat mengusahakan ladang mereka.

Artikel Berkaitan:

"Selepas kawasan perumahan penduduk dan ladang selesai, barulah kita akan menyelesaikan masalah sisa kayu dan sampah di kawasan Telemong dengan segera," jelasnya.

Katanya, Jabatan Perhutanan dan JPS akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kawasan terlibat dibersihkan secepat mungkin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!