Cardiac Angiosarcoma amat jarang berlaku, peluang pulih hampir tiada

Sayangi jantung, elak penyakit bahaya termasuk cardiac angiosarcoma. - Gambar hiasan
Sayangi jantung, elak penyakit bahaya termasuk cardiac angiosarcoma. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Amat jarang berlaku, tanpa gejala pada peringkat awal, sukar dikesan dan jangka hayat pesakit pula amnya sekitar empat hingga 30 bulan selepas didiagnosis.

Ciri-ciri tersebut menjelaskan situasi penyakit cardiac angiosarcoma, iaitu kanser pada salur darah atau otot jantung yang mana menurut pakar, peluang untuk pesakit pulih hampir tiada kerana barah jenis itu bersifat agresif.

Sekalipun begitu, ada kaedah rawatan yang setidak-tidaknya membolehkan pesakit menjalani kehidupan dengan lebih baik selepas didiagnosis, seperti pembedahan dan rawatan kemoterapi serta radioterapi.

Menurut Pakar Kardiologi dan Perubatan Dalaman, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Foo Yoke Loong, walaupun sukar dikesan pada peringkat awal, seseorang yang sering mengalami ketidakselesaan dada dan sesak nafas yang berlarutan, mudah letih ketika bersenam atau melakukan kerja berat, wajar berjumpa doktor.

"Gejala yang disebutkan itu mungkin disebabkan oleh penyakit selain cardiac angiosarcoma, namun tidak ada salahnya berjumpa pakar dan melakukan pemeriksaan demi kesihatan sendiri," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sukar dikesan awal

Bercerita lanjut mengenai penyakit yang meragut nyawa pereka fesyen Virgil Abloh yang juga Pengarah Artistik Fesyen Lelaki Louis Vuitton pada 29 November tahun lepas, Dr Yoke Loong berkata lazimnya, penyakit itu hanya dapat dikesan apabila keadaan sudah serius.

"Apabila angiosarcoma itu semakin membesar dan menghimpit jantung, barulah pesakit akan mengalami keadaan mudah letih, sesak nafas, bengkak kaki dan sakit dada yang datang dan pergi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai rawatan yang boleh diberikan, Dr Yoke Loong berkata, kaedah rawatan bergantung pada beberapa faktor seperti umur pesakit, saiz dan lokasi tumor.

"Jika tumor itu boleh dibuang, maka pembedahan jantung terbuka diperlukan untuk membuang tumor secara keseluruhan bagi menghalang tumor tersebut daripada berulang. Selepas itu, rawatan akan diteruskan dengan kemoterapi dan radioterapi,” jelasnya.

Menurut beliau, ada juga kes yang memerlukan pesakit menjalani kemoterapi terlebih dahulu bagi mengecutkan tumor sebelum pembedahan dapat dijalankan.

"Ada beberapa laporan menyatakan penghidap cardiac angiosarcoma dapat bertahan 12 hingga 30 bulan jika mereka menjalani kombinasi rawatan seperti pembedahan, kemoterapi dan radioterapi, namun bagi pesakit yang tidak menjalani pembedahan, jangka hayat mereka hanya empat hingga tujuh bulan,” katanya.

Satistik

Ditanya mengenai peratusan penduduk Malaysia yang menghidap cardiac angiosarcoma, Dr Yoke Loong berkata hingga kini tidak ada data tepat mengenai perkara itu.

"Namun, statistik global pesakit yang menghidap sarkoma tisu lembut bagi tempoh 1973 hingga 2006 ialah 5.9 peratus daripada 100,000 orang,” katanya dan menjelaskan kanser sarkoma adalah kanser yang jarang berlaku dan cardiac angiosarcoma jauh lebih jarang.

(Sarkoma adalah kanser yang bermula di dalam tulang dan tisu lembut termasuk otot, lemak, salur darah, saraf, tendon dan lapisan sendi manusia, sementara angiosarcoma adalah subjenis sarkoma dan boleh berlaku pada mana-mana bahagian tubuh, khususnya kulit kepala dan leher)

Bercerita mengenai pengalamannya, Dr Yoke Loong berkata, sepanjang kerjayanya, beliau merawat dua kes cardiac angiosarcoma termasuk seorang pesakit wanita yang dikesan menghidap penyakit itu selepas kehamilan.

"Malangnya, kedua-dua mereka tidak dapat diselamatkan kerana didiagnosis ketika sudah berada di tahap serius dan sukar dirawat,” cerita beliau.

Angiosarcoma tidak kira usia

Sementara itu, pakar onkologi SMCV Dr Hafizah Zaharah Ahmad berkata dalam konteks jantung, angiosarcoma boleh merebak dengan pantas dan menembusi lapisan otot jantung.

"Keadaan ini seterusnya mengganggu aliran darah melalui jantung, metastasis (merebak) dan boleh menyebabkan kematian,” jelasnya.

Berhubung kaedah mendiagnosis kanser berkenaan, Dr Hafizah Zaharah berkata ada beberapa ujian yang boleh dibuat termasuk echocardiogram atau echo, imbasan CT, MRI (Pengimejan Resonans Magnetik) diikuti biopsi jantung.

"Ujian echo digunakan secara meluas dan dapat menyediakan teknik yang mudah dan tidak invasif untuk penilaian awal kanser ini. Kaedah itu dapat mengesan kewujudan jisim atau tumor dan mampu memberikan informasi untuk mengenal pasti sebarang penghalang kepada sistem peredaran darah,” katanya.

Dr Hafizah Zaharah turut berkongsi pengalamannya merawat seorang pesakit muda yang dikesan menghidap angiosarcoma pada kulit kepala.

"Pesakit berkenaan telah didiagnosis di peringkat kanser yang tidak (lagi) boleh dibuang. Pada awalnya kanser tersebut muncul sebagai lesi kebiruan (blue lesion) pada kulit kepala yang kemudian berulser (menjadi luka lambat pulih). Pesakit itu kemudiannya menjalani rawatan radiasi dan kemoterapi," katanya.

Dalam pada itu, mengambil kira tahap keagresifan jenis kanser tersebut, Dr Yoke Loong menasihati setiap individu agar lebih peka dengan perubahan diri dan tidak bertangguh dalam melakukan pemeriksaan kesihatan sekiranya mengesan keganjilan pada tubuh.

"Kebanyakan kita akan menganggap simptom seperti sakit dada atau sesak nafas sebagai tiada apa-apa dan akan berlalu pergi selepas seketika. Namun hakikatnya gejala itu mungkin memberitahu kita ada sesuatu yang tidak kena dalam tubuh kita.

"Justeru, amat penting untuk setiap orang melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala agar doktor dapat mengesan dan membuat diagnosis sebarang penyakit lebih awal,” nasihatnya - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!