Dua remaja lelaki ditemukan lemas dalam sungai
PASIR GUDANG - Dua remaja lelaki ditemukan lemas dalam sungai di Jalan Masai Utama, Taman Masai Utama di sini pada malam Ahad.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelemat (BBP) Pasir Gudang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hamdan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden tersebut pada jam 6.14 petang Ahad.
Menurut beliau, seramai 14 anggota BBP Pasir Gudang dibantu unit Pasukan penyelamat di Air (PPDA) BBP Skudai bersama beberapa jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Siasatan mendapati mangsa, Sharif Mohd Sharizan Sabri, 11, dan Mohd Ahlan Kiram, 14, lemas dalam sungai sedalam kira-kira 3 meter. Mereka dikatakan bermain di tepi sungai sebelum kejadian itu.
"Mayat pertama dijumpai jam 9.18 malam pada jarak 15.24 meter dari lokasi mangsa dipercayai lemas dan mangsa kedua dijumpai jam 10.32 malam pada jarak 18.28 meter dari lokasi mangsa dipercayai lemas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Katanya, operasi mencari mangsa turut dibantu orang awam dan mayat diserahkan kepada polis sebelum operasi tamat pada jam 11.59 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!