Hanya 7 peratus kebakaran tapak pelupusan sampah dipadam

Kebakaran di tapak pelupusan sampah Sungai Burung, Ladang Byram
Kebakaran di tapak pelupusan sampah Sungai Burung, Ladang Byram
A
A
A
NIBONG TEBAL - Proses pemadaman sepenuhnya kebakaran di tapak pelupusan sampah Sungai Burung, Ladang Byram di sini dijangka dalam tempoh dua minggu.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal, Noor Asfariza Mohamad Abdul Kadir berkata, sejak kebakaran berlaku iaitu pada 12 Januari lalu, pihaknya berjaya memadamkan 7 peratus daripada 80 peratus kebakaran di 6.5 hektar kawasan berkenaan.

Noor Asfariza Mohamad Abdul Kadir
Noor Asfariza Mohamad Abdul Kadir

Menurutnya, kebakaran di tapak pelupusan itu melibatkan di bahagian permukaan dan di bahagian bawah timbunan sampah iaitu sehingga 15 hingga 20 meter.

"Kita bekerja 24 jam tanpa henti dengan kekuatan 25 anggota dalam satu-satu masa melibatkan 25 jentera termasuk lima Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Prai dan BBP Kulim Hi-Tech.

"Setakat ini, empat BBP terlibat iaitu Paya Terubong, Penanti, Kepala Batas dan Nibong Tebal," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Isnin.

Sebelum itu, Noor Asfariza memberi taklimat operasi kepada Exco Kerja Raya dan Perumahan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang dan beberapa wakil Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Katanya, bomba sedang berusaha melakukan kerja pemadaman dan pengawalan api dengan menggunakan sumber air dari jentera dan 'water tanker'.

"Kita menggunakan kaedah memadamkan api di permukaan selain mengorek tanah untuk memadam api yang berada di bawah timbunan sampah. Ini cabaran buat bomba kerana kedalaman timbunan sampah ini antara 15 hingga 20 meter.

"Kita akan korek sambil basahkan bahagian bawah timbunan sampah dan selepas itu kita akan tambunkannya dengan menggunakan tanah untuk memastikan api padam keseluruhannya," katanya.

Beliau menambah, pihaknya turut menghadapi beberapa kekangan seperti bekalan air, bekalan tanah dan laluan untuk 'water tanker' bersaiz besar ke lokasi kebakaran.

Artikel Berkaitan:

"Hari ini (Isnin), kita baru 'all out' semua kerana kita baru dapat tanah. Disebabkan itu, sejak kebakaran berlaku, hanya 7 peratus berjaya dipadamkan kerana kita hanya korek dan basahkan sahaja.

"Selain itu, asap tebal juga menyukarkan kita untuk membuat kerja pemadaman. Api dan asap tebal akan ada terutamanya pada waktu malam kerana faktor angin. Apabila ada udara, bahan dan angin maka akan berlaku kebakaran," katanya.

Beliau berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Pada 12 Januari lalu, tapak pelupusan sampah di Jalan Byram, Pulau Burung, Nibong Tebal terbakar dalam kejadian kira-kira jam 5 petang.

Anggaran keluasan tapak pelupusan adalah 16.2 hektar namun anggaran kawasan yang terbakar berkeluasan 6.5 hektar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!