Jualan Gudang Karangkraf diskaun al-Quran sehingga 25 peratus
SHAH ALAM- Jualan Gudang Karangkraf 2022 yang bakal berlangsung pada 21 hingga 30 Januari depan bakal memberikan potongan sehingga 25 peratus terhadap setiap pembelian al-Quran.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, selain al-Quran, buku dan alat tulis juga mempunyai potongan bagi setiap pembelian.
“Diskaun al-Quran paling menarik bagi saya sebab kita buat potongan sehingga 25 peratus. Dalam masa sama, buku serendah RM1 juga disediakan selain alat tulis,” katanya kepada Wartawan Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, jualan gudang yang bertempat di Kompleks Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam akan berlangsung dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.
Jelasnya, pengunjung yang lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan untuk memasuki kawasan tersebut untuk membuat pembelian.
“Hanya yang ada sijil vaksinasi lengkap sahaja boleh masuk. Selain itu, perlu memakai penutup separa muka, amalkan penjarakan dan sebagainya,” katanya.
Selain itu, beliau turut menyarankan agar pengunjung membawa beg kitar semula sendiri untuk membuat pembelian supaya tidak menggunakan plastik.
“Saya harap kalau boleh ramai orang datang ambil kesempatan dengan harga yang berpatutan. Kita ada tempat letak kereta, kemudahan surau. Jadi memang patut datang,” ujarnya.
Menurutnya, di jualan gudang kali ini, pada hari biasa akan beroperasi dari 9 pagi hingga 7 malam manakala pada hari minggu dari 9 pagi hingga 9 malam.
Tambah Firdaus, jualan gudang secara dalam talian juga dilaksanakan bagi mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal untuk membuat pembelian.
“Yang tinggal jauh, pada masa sama kita ada juga buat jualan gudang dalam talian. Cumanya harga tidak berapa sama dengan kedai. Ada harga tambahan untuk penghantaran dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Jualan Gudang Karangkraf 2022 kali ini turut menyediakan baucar untuk menebus air kopi secara percuma.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!