Empat kompaun langgar SOP Thaipusam dikeluarkan
IPOH - Empat kompaun bernilai RM4,000 dikeluarkan kepada pengunjung kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) sambutan perayaan Thaipusam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sini pada Ahad.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kompaun itu dikeluarkan bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka dan membawa kanak-kanak dalam upacara tersebut.
"SOP ini dengan jelas mengatakan hanya mereka berusia 18 tahun ke atas dibenarkan turut serta tetapi masih ada yang berdegil membawa kanak-kanak hadir ke perayaan Thaipusam.
"Walaupun tidak terlibat langsung dalam upacara sembahyang tetapi penganut berada berhampiran upacara tersebut perlu mematuhi SOP," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Isnin.
Menurutnya, seramai 399 pegawai dan anggota polis telah ditugaskan untuk memantau SOP dan lalu lintas di Kuil Ipoh Hindu Devastanam Paripalana Sabah, Ipoh dan Kuil Sri Subramaniyar Thevasthana Paripalana Sabah di Sungai Siput.
Katanya, penugasan itu turut dibantu 24 Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) dan tujuh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
"Perayaan akan berakhir pada Rabu ini dan ada beberapa jalan ditutup dan dilencongkan bagi memudahkan proses perarakan pedati di kedua-dua daerah tersebut.
"Selain memastikan kelancaran trafik, penugasan anggota adalah bagi memastikan keselamatan orang ramai namun, pegunjung diminta terus mematuhi SOP yang ditetapkan agar tidak berlaku jangkitan Covid-19," katanya.
Minggu lalu Sinar Harian melaporkan upacara 'paal koodam' atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati, dibenarkan tanpa melibatkan acara ‘kavadi’ bagi perayaan Thaipusam kali ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, ‘paal koodam’ dibenarkan bermula Jumaat ini (14 Januari) hingga 19 Januari dengan penetapan jumlah kehadiran yang berbeza mengikut kuil.
Bagaimanapun, mana-mana kuil yang dikesan mempunyai kes Covid-19 akan diarah untuk membatalkan sebarang upacara Thaipusam di kuil itu.
Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata, kertas siasatan berhubung kes penganggur yang disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dikenalinya di Selama, minggu lalu sudah lengkap.
Menurutnya, kertas siasatan tersebut sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
"Reman berakhir hari ini dan kertas siasatan sudah dirujuk kepada TPR dan kalau ada arahan kita akan tuduh," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!