Mahkamah saran AJK masjid, individu tular video mohon maaf

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin, mengenepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap remaja yang dimandikan seperti jenazah, atas kesalahan cubaan mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang minggu lalu.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin, mengenepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap remaja yang dimandikan seperti jenazah, atas kesalahan cubaan mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang minggu lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menyarankan ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan pihak yang menularkan video seorang remaja dimandikan seperti jenazah membuat permohonan maaf secara terbuka.

Hakim Datuk Abd Halim Aman berkata, pihak yang terlibat dalam insiden berkenaan perlu bertindak sedemikian sebagai langkah untuk menjernihkan keadaan.

Ketika prosiding semakan berhubung keputusan Mahkamah Majistret Selayang terhadap Daniel Iskandar, 19, Hakim Abd Halim menyarankan pegawai syarak, AJK masjid dan pihak yang merakam serta menularkan video itu membuat permohonan maaf kepada tertuduh dan masyarakat.

"Jika saranan itu dipersetujui, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) boleh menjadi pihak pengatur cara.

"Langkah ini bagi menjernihkan keadaan agar ia tidak berpanjangan dan diharap perbincangan dapat dilakukan dan dipersetujui semua pihak," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, ia adalah saranan semata-mata dan bukan satu perintah daripada mahkamah.

Menurutnya, semua pihak perlu mengambil iktibar dan demi keluarga Malaysia.

"Yang berlalu biarlah berlalu dan tidak boleh dipadam, jadikannya sebagai pengajaran yang mana pada tahap ini sewajarnya kemaafan boleh didamaikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang remaja yang tular selepas dimandikan seperti jenazah, dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis kerana cuba mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang.

Daniel yang juga penganggur dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Bagaimanapun pada Isnin, Mahkamah Tinggi di sini mengenepikan hukuman penjara dan denda tersebut selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Hakim Abd Halim memutuskan hukuman itu digantikan dengan melakukan aktiviti khidmat masyarakat selama 120 jam bagi tempoh enam bulan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!