Tarikan baharu di Seremban

 Nabila Agrofarm lokasi tarikan baharu di Seremban.
Nabila Agrofarm lokasi tarikan baharu di Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Sesekali lari dari kesibukan kota melakukan aktiviti santai di Nabila Agrofarm di Kampung Pantai di Seremban, Negeri Sembilan pasti menyeronokkan.

Lokasi hanya 15 minit dari pusat bandar Seremban menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti berkuda, memanah, berbasikal, mini ATV, melawat taman mini haiwan dan train joyride yang sesuai buat sesi keluarga.

Produk berkonsepkan agro pelancongan baharu yang dibuka pada Sabtu, Ahad dan cuti umum bermula jam 8.30 pagi hingga 6 petang kini mula mendapat tempat di hati pengunjung sejak mula beroperasi dua tahun lalu.

Pengurusnya, Mohamad Hafiz Sharuddin berkata, lokasi sekeliling yang menghijau dengan suasana kampung memberi pemandangan indah buat pengunjung.

"Ia diusahakan di atas tanah seluas 20 hektar dan bagi saya mereka yang tiada kampung dan nak rasai suasana kampung boleh datang ke sini.

"Kami sebenarnya tak pernah terfikir untuk jadikan perusahaan pertanian dan ternakan diusahakan keluarga sebagai produk pelancongan. Tapi tengok konsep agro pelancongan kini mula diminati, kami terfikir untuk berkongsi apa yang ada di sini dengan semua," katanya.

Pengunjung yang menaiki train joyride akan dibawa mengelilingi Nabila Agrofarm melihat suasana desa.
Pengunjung yang menaiki train joyride akan dibawa mengelilingi Nabila Agrofarm melihat suasana desa.

Apa yang menarik pengunjung tidak dikenakan sebarang bayaran melainkan jika mahu melakukan aktiviti disediakan.

Artikel Berkaitan:

Bagi aktiviti menunggang kuda dan memanah RM10 seorang, (train joyride RM5 dewasa dan RM3 kanak-kanak), (tresure hunt RM10 dewasa dan RM5 kanak-kanak) dan (mini ATV untuk kanak-kanak RM10).

"Harga ditawarkan sangat berpatutan. Kalau tak mahu buat apa-apa aktiviti pun, boleh datang makan di kafe kami yang sediakan dengan pelbagai menu menarik. Sambil menjamu selera, boleh santai-santai tengok taman mini haiwan," katanya.

Katanya, pihaknya turut menawarkan tiga pakej lawatan harian secara berkumpulan sekurang-kurangnya RM20 seorang bermula RM25 hingga RM35.

Sekumpulan kanak-kanak teruja melihat monyet.
Sekumpulan kanak-kanak teruja melihat monyet.

Mohamad Hafiz berkata, secara dasarnya pengunjung didedahkan dengan pengetahuan bahawa sektor pertanian, penternakan dan perikanan menarik untuk diterokai.

Selain itu katanya, pengunjung juga berpeluang mengikuti aktiviti lasak.

"Di sini kami sediakan trek rempuh halangan, dusun race, post ikhtiar hidup dan tapak perkhemahan," katanya.

Bagi anda yang ingin jalankan aktiviti bajet bersama keluarga, bolehlah datang di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!