Kastam Kelantan rampas ganja mampat bernilai RM620,000
KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 248 kilogram (kg) ganja mampat bernilai RM620,000 dalam serbuan di Jalan Cempaka Panji dekat Pengkalan Chepa di sini pada jam 11.30 pagi Ahad.
Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Nasir Deraman berkata, rampasan tersebut dilakukan berdasarkan maklumat dan intipan awal yang dilakukan.
Difahamkan, kesemua ganja itu ditemui di dalam 10 guni yang disembunyikan di dalam sebuah Proton Exora yang diparkir di sebuah garaj.
“Siasatan awal mendapati kesemua ganja mampat itu dipercayai diseludup masuk secara berperingkat melalui pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand.
“Dadah ini kemudiannya dikumpul dan disembunyikan di satu tempat dan apabila dirasakan sudah selamat barulah dadah itu akan diedarkan ke pasaran,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati mandatori. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!