Tindakan tegas menanti syarikat tapak pelupusan jika tidak patuhi SOP
NIBONG TEBAL- Syarikat pengurusan Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung di sini akan dikenakan tindakan tegas sekiranya didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata, pihaknya sedang menunggu laporan penuh berhubung kejadian tersebut sebelum tindakan diambil.
"JAS sedang menyiasat sama ada punca kebakaran tersebut adalah kerana syarikat tersebut tidak mematuhi SOP yang ditetapkan atau sebaliknya. Saya sedang menunggu laporan penuh daripada JAS.
"Kita akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menangani masalah ini. Kejadian kali ini adalah yang terburuk dan kita sedang mencari jalan penyelesaian agar kejadian seperti ini tidak akan berlaku lagi," katanya pada sidang akhbar di Dewan Serbaguna Jawi di sini pada Isnin.
Sementara itu, Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kualiti udara di kawasan sekitar adalah tercemar dan berbahaya.
Jelasnya, radius asap tebal kini tersebar sejauh 7 kilometer.
Katanya lagi, syarikat pengurusan tapak pelupusan sampah berkenaan pernah beberapa dikenakan kompaun kerana beberapa kesalahan termasuk membuat pembakaran secara terbuka.
"Yang terbaharu adalah kes pada tahun lalu yang mana proses kes masih berjalan di mahkamah.
"Oleh demikian, kita akan meneliti laporan mengenai aktiviti syarikat ini sama ada ia mematuhi SOP yang ditetapkan atau sebaliknya," katanya.
Sebelum ini, kira-kira 400 penduduk daripada 86 keluarga yang tinggal berhampiran tapak pelupusan sampah yang terletak di Jalan Byram akan dipindahkan sementara atas faktor keselamatan.
Penduduk akan dipindahkan ke lokasi yang selamat berikutan ruang udara kawasan kediaman mereka kini dipenuhi asap busuk.
Antara penduduk yang terjejas ialah dari Kampung Baru Byram; Kampung Changkat; Kampung Bagan Buaya; Kampung Titi Hitam; Kampung Pengkalan, Kampung Jawi dan Taman Perumahan Desa Jawi.
Sementara itu, JAS Pulau Pinang telah melakukan pemantauan kualiti udara di tiga lokasi iaitu Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Changkat dan Dewan MPKK Kampung Kebun Baru.
Selain itu JAS juga telah menempatkan stesen pengawasan kualiti mudah alih di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Byram.
Berdasarkan pemantauan mendapati, udara mengandungi gas yang boleh memberi risiko kesihatan.
Dua buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan Saujana Indah dan Sekolah Kebangsaan Bakap Indah akan dibuka untuk penduduk Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!