Situasi sebenar di Tonga cetus tanda tanya

Imej daripada Planet SkySat menunjukkan asap tebal dimuntahkan Hunga Tonga-Hunga Ha'apai beberapa hari sebelum ia meletus. - Foto: Agensi
Imej daripada Planet SkySat menunjukkan asap tebal dimuntahkan Hunga Tonga-Hunga Ha'apai beberapa hari sebelum ia meletus. - Foto: Agensi
A
A
A

WELLINGTON - Tonga yang terkesan akibat letusan gunung berapi dasar laut masih terputus hubungan komunikasi dengan dunia luar pada Isnin hingga menyebabkan keadaan sebenar di negara kecil Kepulauan Pasifik itu masih mencetuskan tanda tanya komuniti antarabangsa.

Impak letusan gunung berapi Hunga Tonga - Hunga Ha'apai telah mencetuskan gelombang tsunami setinggi 1.2 meter dan arahan berpindah turut dikeluarkan ke atas penduduk di pesisir pantai.

Talian telefon dan internet turut dilaporkan terputus sejak jam 6.40 petang (waktu tempatan) pada Sabtu sekali gus menyebabkan kira-kira 105,000 penduduk gagal dihubungi sehingga kini.

Setakat ini, tiada laporan kecederaan atau kematian rasmi diperoleh berikutan komunikasi yang terhad di negara kepulauan yang terletak 2,383 kilometer di timur laut New Zealand.

Pengarah rangkaian Cross Cable Network's, Dean Veverka berkata, talian internet di Nuku'alofa mungkin terjejas selama beberapa minggu berikutan kabel komunikasi bawah laut dilaporkan terputus.

"Situasi sebenar masih tidak jelas. Kerja baik pulih kabel tersebut mungkin mengambil masa sehingga dua minggu. Kapal pemasangan kabel terdekat berada di Port Moresby, Papua New Guinea yang terletak lebih 4,000 kilometer dari Tonga," jelasnya.

Difahamkan, Southern Cross Cable membantu Tonga Cable Limited yang memiliki kabel sepanjang 872 kilometer yang menghubungkan Tonga dengan Fiji dan seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

Rakaman video dikongsi di platform Enterprise Social Network (ESN) menunjukkan gelombang ombak tinggi membadai pantai Suva City selepas letusan gunung berapi Hunga-Tonga Hunga-Ha'apai pada Sabtu. - Foto: Agensi
Rakaman video dikongsi di platform Enterprise Social Network (ESN) menunjukkan gelombang ombak tinggi membadai pantai Suva City selepas letusan gunung berapi Hunga-Tonga Hunga-Ha'apai pada Sabtu. - Foto: Agensi

Dua mati lemas di Peru

Pusat Amaran Tsunami Pasifik (PTWC) mengesahkan tiada lagi ancaman tsunami selepas ombak tinggi dilaporkan membanjiri kawasan pesisir pantai dari Jepun hingga ke Amerika Syarikat (AS).

"Berdasarkan data yang diperoleh, ancaman tsunami akibat letusan gunung berapi dasar laut itu sudah berakhir," kata PTWC dalam satu kenyataan, namun ia menyarankan pihak berkuasa supaya terus memantau kawasan pesisir pantai untuk menentukan tahap keselamatannya.

Sementara itu, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern memaklumkan gelombang tsunami tersebut telah memberi impak ketara di bahagian pesisir bawah utara Nuku'alofa yang menyaksikan bot serta serpihan batu besar dihanyutkan ke tepi pantai.

"Keadaan dipercayai stabil walaupun Nuku'alofa diselubungi debu vulkanik tebal. Penduduk Tonga kini memerlukan bantuan air bersih berikutan awan panas dimuntahkan gunung berapi Hunga-Tonga Hunga-Ha'apai telah menyebabkan pencemaran," ujarnya sambil menambah komuniti Tonga di negara itu kini menunggu dengan cemas untuk mengetahui nasib sebenar rakan dan ahli keluarga mereka di sana.

Menurutnya, tiada laporan tentang kemusnahan di bahagian pulau-pulau luar, namun Wellington telah menghantar pesawat peninjau tentera udara untuk membuat penilaian awal tentang impak di kawasan pulau berdataran rendah.

Pesawat P-8 Poseidon bersiap sedia untuk berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Amberley di Queensland menuju ke Tonga. - Foto: AFP
Pesawat P-8 Poseidon bersiap sedia untuk berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Amberley di Queensland menuju ke Tonga. - Foto: AFP

Pejabat Kementerian Luar Australia dalam satu kenyataan mengesahkan Tonga juga menerima tawaran Canberra untuk mengerahkan pesawat pengawasan selain bersiap sedia menghantar bekalan kemanusiaan kritikal.

Ketika ini, Washington dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga berjanji untuk memberikan bantuan sokongan selepas Tabung Kecemasan Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengesahkan ia sedang menyediakan penghantaran bekalan kecemasan.

Di Peru, sekurang-kurangnya dua wanita dilaporkan mati lemas akibat 'gelombang anomali' di pantai utara yang terletak sejauh lebih 10,000 kilometer dari Tonga.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa turut menutup 22 pelabuhan Pasifik di kawasan utara dan tengah berikutan gelombang ombak yang tinggi.

Gambar yang dikongsi di Twitter menunjukkan keadaan rumah penduduk diselaputi debu vulkanik tebal dan gelombang tsunami melanda Tonga. - Foto: Agensi
Gambar yang dikongsi di Twitter menunjukkan keadaan rumah penduduk diselaputi debu vulkanik tebal dan gelombang tsunami melanda Tonga. - Foto: Agensi

Pusat untuk Operasi Kecemasan Kebangsaan memberitahu gelombang luar biasa itu disebabkan aktiviti vulkanik di utara Nuku'alofa.

Di bahagian selatan Peru yang terletak sejauh 10,600 kilometer dari Tonga, banjir dilaporkan berlaku di beberapa kawasan pesisir pantai yang turut menyebabkan puluhan penduduk terpaksa diselamatkan. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!