'Alhamdulillah... suami saya dah sedar'

Empat anak bersama suami Zurina. (Gambar kecil: Zurina)
Empat anak bersama suami Zurina. (Gambar kecil: Zurina)
A
A
A

SHAH ALAM - Pensyarah dari Fakulti Perhotelan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam memanjatkan rasa syukur kepada ILLAHI selepas suaminya yang cedera ditembak pengganas dalam serangan di Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand telah sedar.

Zurinawati Mohi, 48, berkata, suaminya, Nazril Hisham Omar, 49, memberikan respon positif ketika beliau membuat panggilan video, awal pagi tadi.

"Saya bertanyakan keadaannya. Dia mengangguk dan berkata sakit. Alhamdulillah...suami saya sudah sedar.

"Itu sudah cukup buat saya rasa syukur sebab sebelum ini saya tidak tahu keadaan sebenarnya selepas ditembak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, ketika ini, suaminya dijaga anaknya, Muhammad Haqiem Daniel, 18.

"Saya dimaklumkan suami ditembak beberapa kali. Antaranya di jari kaki dan belakang. Ketika ini dia separa sedar selepas menjalani pembedahan.

"Mungkin hari ini ada lagi pembedahan. Itu yang anak saya maklumkan," katanya.

Zurinawati berkata, beliau akan ke New Zealand jam 7 malam ini, menaiki pesawat dari Singapura.

Artikel Berkaitan:

Nazril Hisham antara tiga rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera ditembak pengganas.

Selain Nazril Hisham, dua lagi mangsa serangan pengganas itu adalah Mohd Tarmizi Shuib dan Rahimi Ahmad.

Kesemua mereka kini dirawat di Hospital Christchurch.

Kejadian serangan itu menyebabkan 49 orang maut dan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern menyifatkan kejadian itu sebagai serangan pengganas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!