Akademi Kecemerlangan Pendidikan Awal Kanak-kanak Kemas operasi 2024
KUANTAN - Institut Latihan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kuantan, Pahang yang akan dinaik taraf menjadi Akademi Kecemerlangan Pendidikan Awal Kanak-kanak melibatkan peruntukan keseluruhan RM49 juta dijangka beroperasi penghujung tahun 2024 nanti.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun berkata, projek itu telah bermula dan status terkini adalah untuk melantik perunding.
Beliau berkata, akademi ini akan memberi fokus kepada usaha menaik taraf kualiti pendidikan pendidik masyarakat Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) supaya memiliki ijazah.
"Selain itu juga, akademi ini diharap mampu untuk membina modul pengajaran yang berkualiti selaras dengan peredaran semasa yang memerlukan kepakaran dalam aspek teknologi terkini dan penyediakan latihan bagi mengakreditasi guru-guru Tabika dan Taska Kemas serta pengusaha tadika dan taska swasta.
"Akademi ini akan jadi pusat kecemerlangan kepada semua aktiviti yang melibatkan pendidikan awal kanak-kanak seperti latihan untuk para pendidik, pusat penggubalan modul selain penglibatan ibu bapa memandangkan penglibatan ibu bapa adalah elemen penting dalam pendidikan awal kanak-kanak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sijil penghargaan kepada Skuad Kemas Prihatin atau Sukarelawan Kemas yang terlibat dalam misi bantuan banjir yang melanda Pahang di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Ramlan berkata, sebanyak lima pusat kecemerlangan akan diwujudkan.
Lima pusat itu adalah Pusat Kecemerlangan Pendidik, Pusat Kecemerlangan Kanak-Kanak, Pusat Kecemerlangan Ibubapa, Pusat Kesihatan dan Pemakanan dan Pusat Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomesilan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!