KBS beri komitmen kepada FAM bida tuan rumah Kelayakan Piala Asia 2023

Ahmad Faizal Azumu ketika sidang akhbar selepas majlis pecah tanah ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Presint 5 pada Isnin. -fotoBERNAMA
Ahmad Faizal Azumu ketika sidang akhbar selepas majlis pecah tanah ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Presint 5 pada Isnin. -fotoBERNAMA
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memberi komitmen tinggi terhadap usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membida sebagai tuan rumah pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung Jun depan.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, KBS akan bekerjasama rapat dengan FAM dalam memastikan usaha tersebut berjaya dan berjalan lancar.

Beliau berkata, sokongan penuh akan diberikan kepada FAM supaya badan induk bola sepak negara itu tidak berdepan masalah untuk menjadi tuan rumah kepada saingan kumpulan kelayakan tersebut.

"Saya memberikan komitmen daripada KBS untuk bekerjasama rapat bagi memastikan apabila kita melakukan bidaan, ia akan mendapat hasil yang kita idam-idamkan dengan berjaya mendapat peluang jadi tuan rumah,” katanya ketika sidang akhbar majlis pecah tanah ibu pejabat baharu FAM di Presint 5 di sini pada Isnin.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan bidaan sebagai tuan rumah itu menjadi antara matlamat utama FAM bagi memastikan pasukan negara mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dalam misi layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Pengurus skuad kebangsaan yang juga Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dilapor sebagai berkata, jaminan daripada kerajaan cukup penting supaya ia dapat dianjurkan tanpa sebarang masalah.

Sementara itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kekangan yang perlu ditangani pihaknya dalam membida sebagai tuan rumah adalah berkaitan proses kuarantin selama tujuh hari yang ditetapkan kerajaan ketika ini.

Justeru, beliau berkata, pihaknya bersama KBS akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai perkara itu.

Artikel Berkaitan:

"Isunya tujuh hari kuarantin, lain isu tiada. Kita kena ingat, dalam kita tengah nak bida berpuluh lagi negara tengah buat perkara sama. Tak semestinya kita bida kita boleh dapat, kita kena bagi yang terbaik,” katanya.

Menurut Hamidin, dalam usaha membida juga FAM perlu menyediakan antaranya tempat penginapan, venue pertandingan dan padang latihan yang terbaik serta mampu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Skuad Harimau Malaya kini dalam misi melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 selepas kali terakhir beraksi di kejohanan itu ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007.

Sudah lebih 40 tahun Malaysia gagal meraih slot automatik Piala Asia sejak edisi 1980 di Kuwait. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!