Thailand catat kematian kedua Omicron
BANGKOK - Selepas seorang wanita berusia 86 tahun di Songkhla meninggal dunia akibat dijangkiti varian Omicron pada 12 Januari Thailand pada Sabtu lalu mencatatkan kes kematian kedua yang turut melibatkan warga emas berusia lebih 80 tahun.
Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Apisamai Srirangsan berkata, mangsa varian Omicron terbaharu ialah seorang wanita berumur 84 tahun yang tidak divaksinasi dan menghidap kanser paru-paru peringkat akhir.
Menurut beliau, wanita yang terlantar di katil itu, tinggal di daerah Kut Chap di wilayah timur laut Udon Thani, dipercayai dijangkiti virus itu daripada anak lelakinya.
Dr Apisamai berkata, wanita itu dan keluarganya tidak meminta untuk mendapatkan rawatan semasa menjalani kuarantin di rumah kerana tidak menunjukkan gejala demam dan kesukaran bernafas.
Bagaimanapun, katanya, keadaan wanita itu kian merosot pada Sabtu apabila paras oksigennya menurun.
"Keluarganya memilih untuk tidak memasukkannya ke hospital. Wanita itu disahkan meninggal dunia pada 7.45 malam (waktu tempatan), Sabtu,” katanya pada taklimat Covid-19 di sini pada Isnin.
Dalam tempoh 24 jam yang lalu, Thailand mencatatkan 6,929 kes baharu Covid-19 termasuk 209 kes import dan 13 kematian, menjadikan jumlah jangkitan di negara itu kepada 2,331,414 dan 21,938 kematian, setakat ini.
Sementara itu, petugas kesihatan barisan hadapan di pulau peranginan Phuket mula menerima suntikan vaksin Covid-19 dos keempat bermula minggu lepas.
Timbalan Pengarah Hospital Vachira Phuket, Withita Jaeng-iam berkata kumpulan berisiko tinggi termasuk mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang teruk serta penduduk yang berumur 60 tahun ke atas layak menerima suntikan vaksin Covid-19 keempat mereka.
"Daripada pangkalan data, kira-kira 60,000 orang telah mendaftar untuk suntikan keempat,” katanya, memetik Bangkok Post.
Setakat ini, Thailand telah memberikan 109,542,145 dos vaksin Covid-19, termasuk 51,809,191 dos pertama sejak kempen vaksinasinya dilancar pada 28 Februari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!