Pembangunan SVTP dilaksana segera
IPOH - Pembangunan kawasan perindustrian Silver Valley Technology Park (SVTP) akan segera dilaksanakan setelah urusan mahkamah berkaitan penerokaan tanah di kawasan itu oleh petani selesai.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pembangunan kawasan itu tidak akan ditangguh lagi memandangkan kerajaan negeri sudah menerima permintaan tinggi dari pelabur untuk datang ke negeri ini.
Menurutnya, permintaan tinggi itu didorong oleh kepadatan kawasan perindustrian di Selangor dan Pulau Pinang menyebabkan syarikat-syarikat industri memilih untuk melabur di Perak.
"Kita memang sedang buat (pembangunan SVTP) setelah selesai sahaja semua kisah ini (tindakan mahkamah ke atas peneroka haram) kerana kita telah menerima permintaan daripada semua pelabur-pelabur dan kita memahami keperluan pelabur untuk datang ke Perak.
"Kita akan segerakan pembangunan (di SVTP) mengikut jadual sebab ia satu permintaan dan keperluan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Doa Selamat dan Santai Bersama YAB Menteri Besar Perak di Dewan Azumu, Halaman Meru Impian, di sini pada Isnin.
Menurutnya, kerajaan negeri akan membuat persiapan dengan menyediakan prasarana bagi SVTP yang merupakan salah satu taman perindustrian bagi menggamit kedatangan pelabur.
Mengenai penerokaan tanah di kawasan tersebut, Saarani menegaskan tindakan mahkamah masih lagi berjalan selepas rundingan sebelum ini tidak menampakkan jalan penyelesaian.
Sementara itu, beliau menjelaskan kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Perak akan meneliti gambar tular di Facebook menunjukkan sebilangan pokok balak yang ditebang sama ada ia baharu atau gambar lama.
Katanya, jika benar berlaku kecurian hasil balak dan penebangan yang tidak mendapat kelulusan, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!