'Saya jawab Jumaat ini'

Hamidin
Hamidin
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan kesediaan menjawab segala kontroversi yang melanda badan induk bola sepak negara tersebut Jumaat ini.

Malah jelas Hamidin, beliau tidak pernah melarikan atau bersembunyi selepas kegagalan skuad Harimau Malaya di pentas Piala Suzuki AFF 2020 Singapura bulan lalu.

Tegas Hamidin, beliau mengambil keputusan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengelak salah faham selain sedang menjalani kuarantin selepas pulang dari luar negara yang berakhir Ahad.

“Saya tidak akan lari. Saya akan jawab Jumaat ini. Saya sayang bola sepak dan netizen ada pandangan mereka masing-masing.

“Semalam saya potong gelang kuarantin dan ada kenyataan yang keluar cuma saya akan jawab Jumaat ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Baharu FAM pada Isnin.

Untuk rekod, Jumaat ini akan berlangsung Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM Penggal 2021-2025.

Arena bola sepak negara kembali bergelora sebelum ini selepas skuad Harimau Malaya gagal mencapai sasaran beraksi di perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2020, sekali gus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan komuniti bola sepak.

Prestasi hambar di Singapura itu menyaksikan bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe melepaskan jawatan yang disandang sejak 2017, selain terdapat 'suara-suara di media sosial' menyarankan barisan kepimpinan FAM melepaskan jawatan masing-masing berikutan prestasi kurang memuaskan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!