Ayob Khan mampu hapuskan ancaman dadah

Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

TERGAMAK seorang anak yang ditatang bagai minyak penuh sejak dari lahir sanggup membunuh ibu sendiri kerana ketagihan dadah.

Kisah menyayat hati yang menimpa seorang wanita berusia 56 tahun di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor itu patut dijadikan iktibar kepada kita semua.

Sudah tentu kejadian tersebut bukanlah yang pertama dilaporkan tetapi sudah banyak kes-kes seperti itu berlaku sehingga kita tertanya-tanya, sampai bila akan terus berlaku.

Justeru, sudah sampai masanya masalah penagihan dadah di negara ini diberikan perhatian yang amat serius oleh semua pihak kerana ia melibatkan keselamatan orang lain.

Mengambil contoh tindakan keras Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang melakukan melakukan usaha memerangi dadah di negara berkenaan dengan cara membunuh pengedar di negara itu, namun Malaysia mungkin tidak akan mengambil pendekatan seperti itu kerana terlalu kejam dan mengundang kecaman antarabangsa.

Bagaimanapun, langkah melantik Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik yang baharu memberi sinaran dalam menyelesaikan isu penyalahgunaan dadah di negara ini.

Beliau seorang pegawai polis yang terkenal dengan integriti dan komitmen tinggi terhadap tugas dan tanggungjawab yang diberikan.

Buktinya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak berjaya menumpaskan sindiket dadah yang menjadikan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Pusing, Batu Gajah sebagai makmal pemprosesan ketamin.

Artikel Berkaitan:

Polis merampas dadah seberat dua tan bernilai RM111.2 juta yang boleh menampung 6.7 juta penagih. Difahamkan ia merupakan rampasan kedua terbesar makmal memproses ketamin selepas Johor yang melibatkan dadah bernilai RM201 juta pada tahun lalu. Pada ketika itu, Ayob Khan merupakan Ketua Polis Johor.

Oleh demikian, tindakan meletakkan Ayob Khan untuk menggalas tanggungjawab menghapuskan kegiatan dadah di negara ini tepat pada masanya.

Adalah menjadi harapan besar kepada kita semua agar ancaman dadah di negara ini dapat dihapuskan walaupun kita tahu ia amat sukar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!