Lewandowski dalam kelas tersendiri
Penyerang Poland dan Bayern Munich, Robert Lewandowski memenangi anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA 2021 dengan pemain tengah Sepanyol dari Barcelona, Alexia Putellas memenangi Pemain Wanita Terbaik FIFA.
Lewandowski memenangi anugerah itu untuk tahun kedua berturut-turut selepas mengatasi rekod 49 tahun Gerd Mueller dengan 40 gol dalam saingan Bundesliga sebelum ini.
Sementara Putellas yang berusia 27 tahun pula merupakan nadi kepada skuad wanita Barcelona yang memenangi liga Sepanyol dan Liga Juara-Juara.
Gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea pula memenangi kedua-dua anugerah untuk jurulatih terbaik menerusi Thomas Tuchel memenangi anugerah lelaki manakala Emma Hayes dinamakan jurulatih wanita terbaik.
Tuchel telah membimbing Chelsea merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara selepas mengambil alih kelab itu pada Januari lalu manakala Hayes memenangi treble Liga Super Wanita, Piala FA dan Piala Liga.
Kelab London Barat itu menambah pengiktirafan dengan pemain antarabangsa Senegal, Edouard Mendy memenangi anugerah Penjaga Gol Lelaki Terbaik.
Christiane Endler dari Chile yang kini bersama Olympique Lyon dinobatkan sebagai Penjaga Gol Wanita Terbaik.
Anugerah Puskas untuk gol terbaik tahun ini dimenangi oleh pemain Argentina, Erik Lamela, kini bersama kelab Sepanyol Sevilla, untuk golnya ketika Tottenham Hotspur menentang Arsenal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!