Langgar SOP: Polis kenal pasti individu dalam gambar tular
PETALING JAYA - Polis sudah mengenal pasti individu didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam sebuah majlis pelancaran produk di sebuah hotel di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kesemua individu terlibat akan dipanggil untuk membantu siasatan.
Menurutnya, beberapa gambar yang diambil ketika majlis berlangsung tular di media sosial pada Isnin yang memaparkan beberapa individu tidak mematuhi SOP PPN.
"Majlis tersebut dihadiri oleh usahawan-usahawan ternama yang terlibat dalam usahasama untuk pembangunan produk tersebut.
"Satu laporan polis telah dibuat pada 17 Januari (Isnin) jam 9.50 malam mengenai penularan gambar majlis tersebut di media sosial," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan dijalankan membabitkan kesalahan pelanggaran SOP PPN semasa majlis tersebut berlangsung.
"Saya mengingatkan pihak penganjur dan syarikat yang mengadakan sebarang majlis supaya memastikan tiada pelanggaran SOP PPN yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha membendung penularan Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!